Mari belajar dan ketahui tip oven serta fungsinya. Barulah kek dan kuih menjadi bila tahu fungsi dan jenis oven masing-masing. Banyak orang suka membuat kek dan biskut tetapi sering kali merasa kecewa apabila hasilnya tidak memuaskan.
“Saya dah ikut resipi dengan teliti tapi kek tetap tak jadi!” ini adalah antara keluhan yang sering didengar.
Salah satu punca masalah ini mungkin disebabkan oleh kurangnya pengetahuan. Bukanlah pengetahuan dalam memasak yang kurang, tetapi pengetahuan tentang ketuhar atau oven yang digunakan.
Baca juga: Tiada Oven Di Rumah? Ini Teknik Bakar Kek Atas Dapur Gas
Dalam proses membuat kek, biskut, pastri, dan roti, bukan sahaja kemahiran yang diperlukan untuk mencapai hasil terbaik tetapi ketuhar juga memainkan peranan yang penting.
Salah satu soalan yang sering ditanya, terutama oleh orang yang baru belajar memasak, adalah jenis ketuhar yang sesuai dan adakah perlu memiliki ketuhar yang berbeza untuk kek, roti, dan pastri yang berbeza?
Untuk memberikan penjelasan tentang perkara ini, ini jenis ketuhar dan fungsinya yang berguna bagi anda yang gemar memasak.
TIP OVEN SERTA FUNGSI-FUNGSINYA
JENIS-JENIS KETUHAR
1. Ketuhar Jenis Bina Dalam (Built-in Oven)
Ketuhar jenis ini sesuai untuk pelbagai jenis pembakaran. Ia dapat membakar roti, kek, pastri, dan biskut. Bergantung kepada jenama yang anda beli, ada beberapa ketuhar jenis ini yang mungkin tidak menghasilkan panasan yang sama sekata apabila anda membakar dua atau lebih tingkat (2 tier baking).
Apabila membakar biskut dengan cara ini, anda perlu menukar dan memusing loyang kuih anda dengan kerap supaya mendapat pembakaran yang lebih sekata. Tetapi apabila membakar kek, lebih baik jika anda hanya membakar satu tingkat sahaja.
2. Ketuhar Berkipas (Oven dengan Kipas)
Ketuhar yang dilengkapi dengan kipas biasanya dapat membakar biskut dan pastri dengan baik kerana kipas tersebut menyebarkan panas dengan sekata apabila anda membakar di dua atau tiga tingkat (2 atau 3 tier baking). Tetapi apabila digunakan untuk membakar kek, kipas ini boleh mengeringkan kek.
Jadi, jika terdapat pilihan untuk mematikan kipas atau menyelakannya semasa membuat kek, itu adalah pilihan yang lebih baik. Tetapi jika anda tidak mempunyai pilihan untuk mematikan kipas (tiada butang kipas), lebih baik jika anda mengurangkan sedikit masa pembakaran kek.
Sebagai contoh, jika kek tersebut memerlukan masa 45 minit untuk dibakar dalam ketuhar biasa, kurangkan masa itu sebanyak 5 minit jika menggunakan ketuhar yang mempunyai kipas untuk mengelakkan kek daripada menjadi terlalu kering.
3. Ketuhar Mikro (Microwave Oven)
Jenis ketuhar ini merupakan gabungan antara ketuhar dan mikro, yang boleh digunakan untuk fungsi mikro serta membakar biskut, brownie, atau kek cawan.
Ketuhar seperti ini sesuai bagi mereka yang jarang membuat kek yang besar. Apabila membakar kek yang agak besar, ada kemungkinan bahagian tengah kek tidak akan masak sepenuhnya.
Biasanya, kita lebih cenderung untuk menggunakan fungsi mikro sahaja. Oleh itu, bagi mereka yang suka membuat roti, pastri, dan kek kecil, jenis ketuhar ini mungkin kurang sesuai, kerana kek yang dibakar dalam ketuhar mikro ini biasanya kelihatan pucat dan padat.
FUNGSI-FUNGSI KETUHAR
Ini adalah perkara yang ramai orang tidak tahu. Mari kita lihat fungsi-fungsi tersebut agar dapat menggunakannya dengan betul. Kebanyakan ketuhar bina dalam (built-in oven) mempunyai fungsi yang hampir sama, iaitu:
Panasan Atas dan Bawah
Fungsi ini sesuai untuk membakar pelbagai jenis kek, biskut, pastri, dan roti. Jika membakar kek yang besar, letakkan kek sedikit di bahagian bawah rak, tetapi jika membakar roti dan pastri, lebih baik letakkannya di tengah rak.
Panasan Atas Sahaja
Ramai yang keliru dengan fungsi ini. Mereka menganggap bahawa panasan atas sesuai untuk membakar kek lapis! Sebenarnya, panasan atas lebih sesuai untuk membakar kek cheese. Jika digunakan untuk membakar kek lapis, ia mungkin akan menjadi terlalu kering atau garing.
Panasan Bawah Sahaja
Fungsi panasan bawah sesuai untuk menggaringkan roti yang berinti seperti pizza. Kadang-kadang, bahagian atas pizza mungkin sudah masak tetapi bahagian bawahnya masih kurang garing atau lembap. Di sinilah fungsi panasan bawah berguna untuk memasak roti tersebut tanpa mengeringkan atau memasakkan isi pizza di atasnya.
Gril
Ini adalah fungsi utama apabila membuat kek lapis. Dengan menggunakan gril, setiap lapisan kek pasti akan menjadi cantik dan tidak terlalu kering. Api gril ini juga sesuai untuk menggaringkan bahagian atas ayam atau daging untuk sementara waktu.
Penyuntikan Wap
Tidak semua ketuhar mempunyai fungsi ini. Fungsi ini berguna untuk membakar beberapa jenis roti seperti roti Perancis. Ia membantu menghasilkan permukaan roti yang garing dan rangup.
Suhu
Pastikan anda mengetahui suhu yang sesuai untuk jenis hidangan yang anda masak agar tidak menghasilkan rasa hangit atau terbakar semasa proses pembakaran. Setiap ketuhar mempunyai suhu yang berbeza. Dapatkan nasihat dari pakar sebelum membuat pembelian.
Semoga tip oven serta fungsi-fungsi yang diberikan berguna bagi anda yang ingin menyediakan hidangan terbaik untuk keluarga. Selamat memasak!
Baca juga: Cara Tukar Sukatan Dari ‘Gram’ Ke Cawan, mililiter, Sudu Teh & Sudu Besar
Sumber: Facebook Jom Belajar Buat Kek