Pernah tak buka peti sejuk dan ternampak beberapa biji telur yang sudah lama dibeli?
Tarikh pada kotak mungkin sudah hampir atau anda sendiri sudah tidak ingat bila telur tersebut dimasukkan ke dalam peti sejuk. Nak buang rasa sayang, tetapi nak masak pun risau kalau telur sudah tidak elok.
Sebenarnya, ada beberapa cara mudah yang boleh dilakukan untuk memeriksa keadaan telur sebelum digunakan.
Jangan terus pecahkan semua telur ke dalam bahan masakan. Cuba periksa dengan beberapa langkah ini dahulu.
Baca juga: Resipi Kerabu Sotong, Nampak Ringkas Tapi Ada ‘Petua’ Supaya Tekstur Kekal Lembut & Tak Liat
1. Periksa keadaan kulit telur masih elok atau tidak

Cara paling mudah ialah tengok keadaan kulit telur terlebih dahulu.
Pastikan kulit telur tidak retak, pecah, berlendir atau mempunyai kotoran yang luar biasa. Jika terdapat keretakan pada kulit, lebih baik berhati-hati kerana bakteria boleh masuk melalui bahagian tersebut.
Telur yang disimpan terlalu lama juga mungkin mengalami perubahan pada permukaan kulitnya.
Jika telur kelihatan berlendir, berkulat atau mempunyai bau yang pelik walaupun belum dipecahkan, elakkan daripada menggunakannya.
Namun, jangan bergantung kepada rupa kulit semata-mata kerana telur yang sudah tidak elok tidak semestinya mempunyai perubahan yang jelas pada bahagian luar.
2. Cuba buat ujian rendam dalam air
Ini antara cara yang popular digunakan untuk melihat usia telur.
Masukkan telur ke dalam bekas berisi air dan perhatikan kedudukannya.
Jika telur terbaring di dasar bekas, ia biasanya masih agak segar.
Jika telur berdiri atau terapung sedikit, ia mungkin sudah lebih berusia.
Manakala jika telur terapung sepenuhnya, itu menunjukkan telur sudah lama dan kualitinya mungkin sudah menurun.
Ini berlaku kerana ruang udara di dalam telur akan menjadi lebih besar apabila telur semakin berusia.
Bagaimanapun, ujian air ini lebih sesuai digunakan sebagai petunjuk usia dan kualiti telur, bukannya satu-satunya cara untuk menentukan sama ada telur selamat dimakan.
Jadi, kalau masih ragu-ragu, teruskan dengan pemeriksaan seterusnya.
3. Pecahkan telur dalam bekas berasingan
Kalau telur nampak normal dari luar, jangan terus pecahkan ke dalam kuali atau mangkuk yang mengandungi bahan lain.
Sebaliknya, pecahkan telur ke dalam bekas atau mangkuk kecil yang berasingan.
Cara ini memudahkan anda memeriksa keadaan telur tanpa merosakkan bahan masakan yang lain sekiranya telur tersebut sudah tidak elok.
Perhatikan warna putih dan kuning telur.
Telur yang masih baik biasanya tidak mempunyai perubahan warna yang pelik. Jika anda nampak perubahan luar biasa, kulat atau tekstur yang mencurigakan, lebih baik jangan gunakannya.
Langkah ini juga membantu mengelakkan satu telur yang rosak daripada mencemarkan telur atau bahan lain yang sedang digunakan untuk memasak.
4. Hidu bau telur selepas dipecahkan
Bau juga boleh menjadi petunjuk yang sangat jelas.
Telur yang sudah rosak biasanya akan mengeluarkan bau busuk yang kuat dan menyengat selepas kulitnya dipecahkan.
Kalau baru sahaja pecahkan telur dan terhidu bau yang pelik atau terlalu kuat, jangan cuba rasa untuk memastikan ia masih boleh dimakan.
Lebih baik buang sahaja telur tersebut.
Jangan lupa basuh tangan, bekas dan peralatan yang terkena telur mentah sebelum menggunakannya semula.
5. Jangan lupa cara telur disimpan
Selain keadaan telur, cara penyimpanannya juga penting.
Telur sebaiknya disimpan dalam peti sejuk pada suhu yang sesuai dan tidak dibiarkan terlalu lama pada suhu bilik.
Jika telur sudah dimasak, cara penyimpanan juga berbeza dan tempoh ketahanannya bergantung kepada cara ia dimasak serta disimpan.
Satu lagi perkara yang boleh diamalkan ialah menyimpan telur dalam bekas asalnya jika ada. Ini dapat membantu melindungi telur daripada menyerap bau makanan lain di dalam peti sejuk.
Jika anda tidak pasti berapa lama telur sudah disimpan atau keadaan penyimpanannya meragukan, lebih baik jangan ambil risiko.
Jadi, Boleh Ke Makan Telur Yang Dah Lama?
Telur yang sudah lama tidak semestinya terus rosak. Namun, semakin lama telur disimpan, kualitinya boleh menurun. Sebab itu, jangan hanya bergantung kepada satu kaedah seperti ujian air. Periksa keadaan kulit, kedudukan telur dalam air, rupa selepas dipecahkan dan baunya sebelum membuat keputusan.
Paling penting, kalau telur berbau busuk, kelihatan pelik atau anda berasa ragu-ragu tentang keadaannya, lebih baik buang sahaja. Daripada membazir bahan masakan, lebih baik berjaga-jaga supaya hidangan yang disediakan untuk keluarga kekal selamat dan menyelerakan.
Sumber: Hello Doktor
Baca juga: Resipi Nasi Goreng Sotong Kunyit, Ingat Susah Buat Rupanya Pejam Mata Pun Boleh Siap
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM

