
Bagi peminat masakan kampung, singgang ayam sememangnya antara hidangan yang sukar ditolak. Kuahnya yang masam, pedas dan penuh aroma rempah menjadikan lauk ini cukup menyelerakan, terutama apabila dimakan bersama nasi panas.
Menariknya, ramai yang tidak tahu bahawa singgang ayam versi Kelantan mempunyai keistimewaan tersendiri. Selain menggunakan bahan-bahan segar seperti serai, halia dan lengkuas, ada satu bahan yang sering ditambah untuk memberikan rasa yang lebih padu dan berbeza daripada sup ayam biasa.
RESIPI SINGGANG AYAM KELANTAN

Bahan-bahan:
- 1 ekor ayam, dipotong kecil
- 3 batang serai, diketuk
- Lengkuas secukupnya, dimayang
- Halia secukupnya, dimayang
- 4 biji bawang merah, dimayang
- 3 ulas bawang putih, dimayang
- Lada kering secukupnya, dihiris
- Sedikit belacan
- 1 sudu besar cili kering kisar
- 2 sudu besar ketumbar, ditumbuk
- 1 sudu besar budu
- 2 hingga 3 keping asam keping
- Garam secukup rasa
- Serbuk perasa
Cara-cara Penyediaan:
1. Masukkan ayam ke dalam periuk yang sesuai.
2. Tambahkan serai, lengkuas, halia, bawang merah dan bawang putih yang telah dimayang.
3. Masukkan lada kering yang dihiris, belacan, cili kering kisar dan ketumbar yang telah ditumbuk.
4. Kemudian masukkan budu serta asam keping.
5. Tuangkan air secukupnya sehingga menutupi ayam.
6. Rebus sehingga ayam empuk dan semua bahan mengeluarkan aroma yang harum.
7. Perasakan dengan garam dan Ajinomoto mengikut cita rasa.
8. Biarkan kuah mendidih sehingga semua rasa sebati sebelum ditutup api.
9. Sedia untuk dihidangkan panas-panas bersama nasi putih.
Tips:
- Budu memberikan rasa yang lebih asli dan menjadi antara rahsia keenakan singgang ayam versi Kelantan.
- Jika tidak menggunakan budu, anda boleh menggantikannya dengan sedikit serbuk kari ayam.
- Gunakan ayam kampung jika mahu rasa yang lebih manis dan kuah yang lebih beraroma.
- Jangan terlalu banyak air supaya rasa kuah kekal pekat dan lebih menyelerakan.
- Tambahkan lada kering mengikut tahap kepedasan yang diingini.
Gabungan rasa masam daripada asam keping, aroma herba segar serta sentuhan budu menjadikan singgang ayam ini cukup istimewa. Tidak hairanlah hidangan tradisional Kelantan ini masih menjadi pilihan ramai hingga ke hari ini.
Selamat mencuba!
Sumber: Noor Anuar
Baca juga: Sotong Singgang Paling Simple Tapi Padu, Ini Cara Masak Supaya Tak Liat & Lebih Sedap Hirup!
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














