Sarapan dengan nasi lemak bersama keluarga memang seronok, apatah lagi jika digandingkan dengan Sambal Ikan Bilis simple yang sedap.
Ramai yang sukakannya kerana bau ikan bilis yang semerbak bersama pedas dan manis secukup rasa.
Jom kita lihat resipi mudah dan menarik yang dikongsikan oleh Chek Kuna Ahmad di Facebook ini.
Dalam resipi ini terdapat juga tips untuk memastikan sambal itu sudah cukup garing atau belum. Wajib cuba!
Baca juga: Sambal Ikan Bilis Belimbing Buluh Versi Mudah, Guna Je Cara Ini
RESIPI SAMBAL IKAN BILIS SIMPLE
Bahan-bahan:
- Bawang putih
- Bawang merah
- Cili kisar
- Ikan bilis
- Minyak masak
- Pes asam jawa
- 2 biji bawang besar (dipotong nipis)
- Garam
- Gula pasir atau gula melaka
- Serbuk secukup rasa
Cara-cara:
1. Sediakan kuali dan panaskan dalam 2 senduk minyak masak.
2. Cuci ikan bilis, toskan dan goreng ikan bilis sehingga garing. Kemudian angkat dan toskan.
3. Masukkan dalam 1 setengah senduk bawang kisar (bawang putih dan bawang merah). Masukkan 1 sudu garam. Garam ni petua untuk bawang cepat garing.
4. Apabila bawang sudah garing dan warna keperangan, masukkan cili kisar dalam 2 senduk.
5. Masukkan beberapa sudu gula. Gula ni kena masuk awal untuk cili cepat garing.
6. Kemudian masukkan pes asam jawa. Saya guna pes adabi sebab tak payah bancuh guna air.
7. Kacau rata dan masukkan bawang besar dipotong nipis. Kanak-kanak tak suka makan bawang, tapi bila buat begini tak nampak ada bawang. Biasa orang berniaga nak bagi nampak banyak sambal, mereka letak bawang besar ini banyak-banyak.
8. Perlahankan api dan kacau sambal sampai betul-betul garing. Proses ni ambil masa sikit. Bila dah ramai orang bersin, bermakna sambal itu dah cukup garing.
9. Masukkan air panas atau suam dalam 2 cawan dan kcau rata. Biar sambal pekat skit, kemudian baru masukkan ikan bilis goreng tadi.
10. Kacau rata, kemudian rasakan garam dan gula secukupnya. Siap untuk dihidang!
Sambal Ikan Bilis simple ini bukan saja enak dimakan bersama nasi lemak, malah ia juga cukup ngam jika dimakan dengan nasi biasa.
Selamat mencuba!
Sumber: Chek Kuna Ahmad
Baca juga: Resipi Sambal Kentang Ikan Bilis Cukup Rasa, Ratah Pun Sedap!