
Sagu merah sememangnya antara kuih tradisional yang sentiasa menjadi pilihan untuk minum petang. Rasanya yang manis, teksturnya yang kenyal dan salutan kelapa parut menjadikan kuih ini kekal digemari walaupun zaman berubah.
Menerusi perkongsian Normarliana Abu Bakar di Facebook, beliau mendedahkan satu cara mudah yang membuatkan sagu merah tampil lebih cantik, bulat dan kemas. Rahsianya hanyalah menggunakan acuan lompang sebelum dikukus, sekali gus menghasilkan kuih yang lebih menarik untuk dihidangkan.
RESIPI SAGU MERAH GUNA ACUAN LOMPANG

Bahan-bahan:
- 1 cawan sagu (direndam seketika dan ditos)
- 2 cawan air
- ½ cawan gula
- 1 sudu makan sirap ros
- 1 helai daun pandan (dipintal)
Untuk salutan:
- Kelapa parut putih
- Sedikit garam
Cara-cara Penyediaan:
1. Rendam sagu seketika, kemudian toskan.
2. Satukan air, gula, sirap ros dan daun pandan di dalam periuk. Masak sehingga gula larut sepenuhnya.
3. Masukkan sagu yang telah ditos, kemudian kacau selama kira-kira 5 minit.
4. Tutup api dan keluarkan adunan sagu daripada periuk.
5. Sapukan sedikit minyak masak pada acuan lompang supaya sagu mudah dikeluarkan selepas dikukus.
6. Tuangkan adunan ke dalam acuan sehingga penuh dan permukaannya rata.
7. Kukus selama 25 hingga 30 minit sehingga sagu masak sepenuhnya.
8. Biarkan sejuk sebelum mengeluarkan kuih daripada acuan.
9. Gaulkan bersama kelapa parut yang telah dicampurkan sedikit garam dan dikukus seketika.

Tips Buat Sagu Merah Lebih Cantik & Tahan Lama
- Gunakan acuan lompang supaya bentuk sagu merah lebih bulat, seragam dan kemas.
- Sapukan sedikit minyak masak pada acuan sebelum mengisi adunan agar kuih mudah dikeluarkan.
- Kukus kelapa parut bersama sedikit garam sebelum digunakan. Cara ini membantu kelapa tahan lebih lama dan tidak cepat basi.
- Jangan gunakan pewarna merah kerana sirap ros sudah memberikan warna dan aroma yang lebih sedap.
- Jangan menambah air kerana sukatan resipi ini sudah seimbang untuk mendapatkan tekstur yang kenyal.
- Jika belum disalut dengan kelapa parut, sagu merah boleh disimpan semalaman dan masih kekal elok.
- Satu adunan menghasilkan kira-kira 17 biji sagu merah, sesuai dijadikan hidangan untuk keluarga atau tetamu.
Dengan teknik mudah menggunakan acuan lompang ini, sagu merah bukan sahaja kelihatan lebih cantik dan kemas, malah teksturnya juga kekal kenyal apabila dikukus mengikut sukatan yang betul. Tidak hairanlah perkongsian ini mendapat perhatian ramai kerana hasilnya nampak seperti kuih yang dijual di kedai.
Selamat mencuba!
Sumber: Normarliana Abu Bakar
Baca juga: Wanita Ini Kongsi Kuih Seri Muka Paling Sedap, Guna Santan Segar Memang Lembut & Berlemak!
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














