Penerbit digital terkemuka, REV Media Group Sdn Bhd. telah mengambilalih aset harta intelek portal berita sosial popular Cina, Tantannews, dari Monster Scape Sdn Bhd.
Pengambilalihan ini untuk mengembangkan dan mengukuhkan lagi capaiannya dalam kalangan komuniti berbahasa Cina dalam talian. Anak syarikat Media Prima Berhad yang merupakan kumpulan media terkemuka dan terbesar di Malaysia ini telah mengambil alih domain laman web, Tantannews.com, dan segala aset media sosial yang berkaitan.
Kekukuhan Tantannews yang mempunyai lebih dari 7 juta pengguna dan 20 juta paparan halaman setiap bulan akan menyumbang kepada perniagaan digital REV Media dan strategi penyelesaian media untuk para pengiklan. Pengambilalihan ini juga untuk mengembangkan dan mengukuhkan lagi capaiannya dalam kalangan komuniti berbahasa Cina dalam talian.
Dilancarkan pada 2013, Tantannews ialah portal berita sosial dan kandungan Cina yang memfokuskan kepada berita terkini dan kisah hiburan, pelancongan, fesyen dan gaya hidup. Penambahan Tantannews akan mencepatkan pertumbuhan Rangkaian Cina REV Media yang merangkumi jenama popular di pelbagai platform termasuk Viralcham, Rojaklah, 8TV dan 8FM.
Media Prima menjangkau lebih 98% penduduk Malaysia, dan audiens dari semua peringkat umur dan segmen pasaran melalui pelbagai platform media dan jenamanya. Usaha pengambilalihan Tantannews oleh REV Media ini bagi memperkukuhkan capaian penonton Cina Kumpulan serta melengkapkan strategi Media Prima untuk kekal sebagai kumpulan media terkemuka Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif REV Media Group, Samuel Wee berkata, “Ini merupakan pengambilalihan yang strategik dan mengujakan untuk REV Media Group kerana terdapat peningkatan dalam permintaan untuk kandungan bahasa Cina daripada audiens kami, terutamanya daripada mereka yang cenderung membaca kandungan berita.
Pengambilalihan Tantannews mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai penerbit digital terkemuka di seluruh kumpulan pasaran di Malaysia. Kami akan terus mencari lebih banyak pengambilalihan dan perkongsian untuk memacu pertumbuhan bagi REV Media Group.”
Pengasas Tantannews, Sean Teoh berkata,“Kami gembira melihat Tantannews terus berkembang di bawah kepimpinan Sam dan pasukan REV Media, dan sebagai sebahagian daripada kumpulan media terbesar di Malaysia. Kami memulakan Tantannews 10 tahun lalu dari laman Facebook untuk membolehkan pengguna membincangkan berita di media sosial.
Pada kemuncaknya, laman web ini mempunyai lebih daripada 7 juta pengguna dan 20 juta paparan halaman setiap bulan. Melangkah ke hadapan, saya dan pasukan saya di Monster Scape telah memutuskan untuk menumpukan lebih pada teknologi dengan melaburkan sumber dalam pembangunan sistem pengurusan kandungan kami sendiri yang boleh digunakan untuk membangunkan pelbagai jenis kandungan, serta pasaran kandungan di mana lebih daripada 6,000 wartawan mudah alih sambilan mencipta kandungan secara sambilan.
Matlamatnya adalah untuk mewujudkan sekumpulan pencipta kandungan di seluruh rantau dalam format video, visual dan teks yang menyumbang maklumat berita dan komuniti.”