Kalau selalu bakar terung atas dapur gas, mesti pernah alami masalah terung cepat hangus sebab terleka sekejap. Sebab itu, terung bakar air fryer boleh jadi cara yang lebih mudah dan praktikal untuk dicuba di rumah.

Tak perlu berdiri depan dapur atau asyik memerhati api. Terung cuma perlu dipotong, digaul dengan bahan perasa dan dimasukkan ke dalam air fryer sehingga masak.

Resipi ini menggunakan sos plum, sos tiram dan chili flakes untuk menghasilkan rasa yang manis, masin dan pedas. Ringkas saja penyediaannya, tetapi sedap dimakan dengan nasi panas.

Baca juga: Terung Celup Tepung Rangup Di Luar Lembut Di Dalam, Resipi Mudah Guna 4 Bahan Sahaja

RESIPI TERUNG BAKAR AIR FRYER

Bahan-bahan:

  • 1 biji terung saiz besar
  • 1 sudu kecil chili flakes
  • 1 sudu besar sos plum
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu kecil garam
  • Sedikit minyak untuk disembur

Nota: Jika menggunakan terung yang kecil, boleh gunakan beberapa biji mengikut jumlah yang diperlukan.

Cara-cara penyediaan:

  1. Potong terung mengikut bentuk yang disukai dan cuci sehingga bersih.
  2. Susun potongan terung di dalam bakul air fryer. Boleh alas dengan aluminium foil jika mahu, tetapi tidak wajib.
  3. Taburkan sos tiram, sos plum, chili flakes dan garam ke atas terung.
  4. Biarkan terung selama kira-kira 30 minit supaya perasa meresap ke dalam terung.
  5. Sembur sedikit minyak pada permukaan terung.
  6. Masukkan bakul ke dalam air fryer dan bakar pada suhu 200°C selama kira-kira 15 minit.
  7. Selepas 10 minit, keluarkan bakul dan balikkan terung supaya bahagian bawah pula menghadap ke atas.
  8. Sambung membakar sehingga terung masak dan lembut. Masa memasak mungkin berbeza mengikut jenis dan model air fryer.
  9. Angkat dan hidangkan bersama nasi panas atau sambal cili mengikut cita rasa.

Untuk rasa yang lebih pedas, boleh tambah jumlah chili flakes mengikut selera. Jika suka terung yang lebih lembut dan sedikit garing di bahagian tepi, boleh laraskan masa membakar mengikut air fryer masing-masing. Selamat mencuba!

Sumber: Yatie MN

Baca juga: Resipi Pajeri Terung Yang Pekat Memikat, Rupanya Ada 1 Bahan Buat Rasa Lagi Sedap!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending