Resipi sambal kunyit perkongsian Puan Mazfirah ini sangat sedap dan berkhasiat. Menurut beliau, ia merupakan resipi pusaka arwah ibu mertuanya.
Menurutnya juga, sambal ini adalah khazanah yang amat berharga kerana ia merupakan resipi tradisi keluarga sebelah suaminya.
Ketika beliau sedang berpantang, arwah ibu mertuanya akan masakkan semangkuk besar sambal kunyit ini. Bukan itu saja, satu keluarga akan turut menjamah.
Sehingga sekarang, sambal kunyit adalah menu yang sentiasa dinantikan oleh suami dan anak-anak beliau. Makan dengan nasi panas tanpa lauk lain pun sudah cukup menyelerakan.
Baca juga: Resipi Sambal Belacan Guna 3 Bahan Je, Tapi Rasa Bukan Main ‘Power’!
Cara Buat Sambal Kunyit Resipi Turun-Temurun Keluarga
Bahan-bahan yang diperlukan:
- 1 mangkuk kecil kunyit
- 6 ulas bawang putih
- 4 biji bawang merah
- Seinci halia
- 3 sudu besar ikan bilis
- 1 keping asam keping
- Sedikit garam
- Sedikit minyak untuk menumis
Cara penyediaannya:
1. Tumbuk kunyit dan halia.
2. Hiris 2 ulas bawang putih dan 2 biji bawang merah.
3. Kemudian tumbuk bawang putih, bawang merah dan ikan bilis.
4. Tumis hirisan bawang tadi. Kemudian masukkan juga semua bahan-bahan yang telah tumbuk.
5. Masukkan asam keping dan garam.
6. Masak dengan api kecil lebih kurang 20 minit.
7. Jika terlalu kering, masukkan sedikit air. Masak hingga kering.
8. Sesuaikan rasa mengikut selera.
9. Siap! Makan dengan nasi panas memang sedap. Selamat mencuba!
Kredit resipi dan gambar: Mazrifah MK
Baca juga: Mudah Sangat Cara Buat Sambal Pijak Gajah Ni, Guna 4 Bahan Je!