
Resipi kek marble antara resipi kek klasik yang tidak pernah hilang popularitinya. Teksturnya yang lembut, rasa butter yang wangi menjadikan kek ini sentiasa menjadi pilihan untuk hidangan minum petang.
Walaupun nampak seperti susah kerana coraknya yang cantik, sebenarnya cara membuat kek marble sangat mudah jika ikut langkah yang betul. Rahsia utama untuk mendapatkan kek yang gebu adalah memastikan adunan butter dan gula dipukul sehingga kembang sebelum bahan lain dimasukkan.
Menariknya, resipi kek marble ini hanya menggunakan bahan-bahan asas yang mudah didapati di dapur. Tak perlu bahan yang pelik atau teknik yang rumit, malah sesuai untuk yang baru belajar membuat kek di rumah.
Baca juga: Kek Oren Blender Tanpa Perlu Perah Jus, Kisar Sebiji Oren Terus Jadi Gebu Dan Harum
RESIPI KEK MARBLE YANG GEBU GEBAS

Bahan-bahan:
- 250 gram planta pelangi
- 200 gram gula kastor
- 5 biji telur gred B
- 230 gram tepung kek
- 1 sudu teh esen vanilla
- 2 sudu besar serbuk koko
- 2 sudu besar susu pekat manis
Cara-cara penyediaan:
- Masukkan planta bersama gula kastor ke dalam mangkuk adunan. Putar menggunakan mixer sehingga adunan menjadi kembang dan berwarna lebih cerah.
- Masukkan telur satu persatu bersama esen vanilla. Teruskan memutar sehingga adunan naik, gebu dan nampak putih.
- Masukkan tepung kek sedikit demi sedikit sambil terus diputar sehingga sebati. Jangan putar terlalu lama, cukup sekadar semua bahan bercampur rata.
- Untuk membuat adunan koko, campurkan serbuk koko bersama susu pekat manis. Gaul sehingga sebati.
- Ambil sedikit adunan kek (lebih kurang 5 hingga 6 sudu besar) dan campurkan dengan adunan koko tadi. Kacau sehingga mendapat warna coklat yang sekata.
- Sediakan loyang kek yang telah disapu sedikit minyak atau dialas dengan kertas pembakar.
- Tuangkan adunan kek vanilla dan adunan koko secara berselang-seli mengikut kreativiti untuk menghasilkan corak marble.
- Panaskan oven terlebih dahulu selama 5 hingga 6 minit.
- Bakar kek pada suhu 180°C selama 50 hingga 60 minit atau sehingga masak. Masa membakar bergantung kepada jenis dan suhu oven masing-masing.
- Setelah masak, keluarkan kek dan biarkan sejuk sebelum dipotong.
Tip: Untuk mendapatkan corak marble yang lebih cantik, jangan kacau adunan selepas dimasukkan ke dalam loyang. Biarkan corak terbentuk secara semula jadi atau gunakan lidi untuk membuat sedikit corak berpusing.
Kek marble yang gebu dengan aroma butter dan rasa koko ini memang sedap dinikmati bersama secawan kopi atau teh panas. Sekali cuba, pasti jadi resipi kek wajib buat di rumah!
Sumber: Rohanie Salleh
Baca juga: Resipi Kek ‘Marjerin Pelangi’ Yang Ramai Suka, Rasanya Ringan Sampai Susah Nak Berhenti Makan
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














