Udang celup tepung memang antara menu yang mudah dibuat tetapi kadang-kadang salutan tepung tidak melekat elok, terlalu tebal atau cepat lemau. Kalau dapat yang rangup dan tepungnya bersalut cantik pada udang, memang sedap dimakan panas-panas.

Resipi kali ini menggunakan bahan yang cukup ringkas iaitu tepung beras, telur, garam dan sedikit serbuk kunyit. Rahsia untuk mendapatkan tekstur yang lebih rangup pula ialah penggunaan air sejuk dari peti ais dalam bancuhan tepung.

Selain itu, udang direndam terlebih dahulu dalam bancuhan selama kira-kira lima minit sebelum digoreng. Minyak juga perlu dipastikan betul-betul panas dan cukup banyak supaya udang dapat digoreng dengan sempurna. Hasilnya, salutan tepung lebih rangup dan melekat elok pada udang.

Baca juga: Resipi Kam Heong Udang, Kuahnya Pekat Dengan Aroma Rempah Yang Wangi & Menyelerakan

RESEPI UDANG CELUP TEPUNG

Bahan-bahan:

  • 17 ekor udang
  • 1 biji telur
  • 2 senduk tepung beras
  • ½ sudu kecil serbuk kunyit
  • ½ sudu kecil garam atau secukup rasa
  • Air sejuk dari peti ais secukupnya
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-cara penyediaan:

  1. Pecahkan telur ke dalam mangkuk. Kacau menggunakan garfu seperti menyediakan telur dadar.
  2. Masukkan tepung beras, garam dan serbuk kunyit. Gaul sehingga semua bahan sebati.
  3. Tuangkan air sejuk sedikit demi sedikit sambil dikacau sehingga mendapat bancuhan yang sesuai. Pastikan bancuhan tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair.
  4. Masukkan semua udang ke dalam bancuhan tepung. Gaul sehingga setiap ekor udang disalut dengan bancuhan.
  5. Biarkan udang terendam dalam bancuhan selama kira-kira 5 minit.
  6. Sementara itu, panaskan minyak dalam kuali. Gunakan minyak yang agak banyak supaya udang boleh tenggelam dan digoreng dengan sekata.
  7. Pastikan minyak benar-benar panas sebelum memasukkan udang. Goreng menggunakan api besar.
  8. Goreng sehingga udang bertukar warna keemasan dan salutan tepung kelihatan rangup. Biasanya, kurang daripada 5 minit sudah mencukupi bergantung pada saiz udang dan kepanasan minyak.
  9. Angkat udang dan toskan minyak dengan baik.
  10. Udang celup tepung siap untuk dinikmati. Sedap dimakan panas-panas bersama sos cili atau pencicah kegemaran.

Sumber: Cik Nurul Hidayah Husni

Baca juga: Udang Masak Lemak Cili Padi Yang Wajib Dicuba, Kuahnya Sedap Sampai Nasi Pun Nak Bertambah

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending