Lauk sambal sotong sangat sedap jika digandingkan dengan nasi lemak. Makan dengan nasi putih pun boleh. Tapi tak ramai yang tahu cara memasak sotong sambal yang cantik dan pecah minyak elok, lebih-lebih lagi buat mereka yang baru belajar masak.
Jika salah teknik memasak, sambal sotong akan jadi berair dan kecut. Bukan itu saja, sotong akan jadi liat apabila dikunyah! Oleh itu, mari kita sama-sama pelajari cara penyediaan sambal sotong sedap sebagaimana yang dikongsi oleh Jimmy Aisy di bawah.
Baca juga: Resipi Sambal Belacan Guna 3 Bahan Je, Tapi Rasa Bukan Main ‘Power’!
TIPS SOTONG SAMBAL TAK KECUT, BERAIR & LIAT
Bahan-bahan:
- Sotong 500g
- Cili kering (dikisar)
- Bawang merah kecil (dikisar)
- Bawang putih (dikisar)
- 1 labu bawang merah besar (dihiris)
- Asam keping/asam jawa
- Kicap manis 1 sudu (ini rahsia warna sambal cantik dan rasa lemak)
- Garam/perasa/gula melaka
Cara-cara:
1. Rendam sotong dalam air panas lebih kurang selama 5 minit. Kemudian toskan. Ini bertujuan untuk membuang air sotong yang ada dalam badannya. Kalau nak celur tanpa air pun boleh, nanti sotong akan mengeluarkan airnya. Jika tidak mengeluarkan air sotong sebelum mula menumis, sambal akan jadi berair walaupun sambal dah pecah minyak.
2. Kemudian, tumis cili kisar, bawang putih dan bawang merah sehingga garing dan pecah minyak. Masukkan juga asam keping dan sedikit kicap manis untuk menghasilkan sambal yang cantik dan lemak.
3. Perasakan dengan gula dan garam secukupnya. Kemudian, boleh maskkan sotong dan bawang hiris. Jangan masak sotong lebih 5 minit untuk elak ia liat. Gaul rata dan sedia untuk dihidangkan.
Tips tahu sambal dah pecah minyak:
- Keluar buih halus
- Semakin banyak buih halus, semakin cantik rempah
- Menumis perlu guna minyak banyak, boleh buang minyak selepas siap menumis (minyak timbuk setelah sejuk)
Kredit resipi dan gambar: Jimmy Aisy
Baca juga: Resipi Sambal Ikan Pari Kering, Dah Sejuk Pun Kekal Rangup Krup Krap!