Ramai pulang ke kampung pada minggu lepas dan pasti seronok dapat makan kuih-muih yang sedap. Kali ini, kami nak kongsikan resepi Kuih Ketayap simple tanpa pewarna.
Kuih Ketayap atau kuih gulung merupakan sejenis kuih berinti yang sangat popular di Malaysia. Jika di Indonesia, kuih ini disebut juga sebagai kuih dadar gulung.
Nak kenal Kuih Ketayap ini mudah saja kerana bentuknya seperti silinder dengan hasil gulungan kulit nipis, diperbuat daripada bancuhan tepung yang diletakkan inti kelapa parut.
Kami terjumpa resepi Kuih Ketayap simple tanpa pewarna yang dikongsikan oleh Rahimah Ali di Facebook dan ternyata hasilnya sangat lembut serta lebih wangi. Jom kita cuba!
Baca juga: Resepi Kuih Ropa Berinti Sedap, Guna Sukatan Ini Pasti Rangupnya Menjadi!
RESEPI KUIH KETAYAP SIMPLE
Bahan-bahan untuk inti kelapa:
- ½ cawan gula merah
- ½ cawan gula putih
- 1½ cawan kelapa parut
- ½ cawan air
Bahan-bahan untuk kulit ketayap:
- 8 helai daun pandan
- 1 cawan tepung gandum
- 1 biji telur
- ½ cawan santan
- Sedikit garam
- ½ cawan air
Cara-cara menyediakan inti kelapa:
1. Mula-mula, cairkan gula merah dan gula putih dengan air, kemudian tapiskan.
2. Selepas itu, masak adunan gula yang telah dicairkan tadi bersama kelapa parut sehingga inti kering dengan menggunakan api sederhana.
3. Setelah itu, ketepikan terlebih dahulu dan biarkan sejuk seketika.
Cara-cara menyediakan kulit ketayap:
1. Mula-mula, kisar daun pandan dan tapiskan.
2. Kemudian, bancuh tepung gandum, telur, santan dan garam dengan air dan tapiskan juga.
3. Selepas itu, panaskan kuali yang disapu dengan sedikit minyak.
4. Seterusnya, tuang satu senduk bancuhan tepung dan ratakan di atas kuali yang panas.
5. Lebih kurang dalam 3 hingga 4 minit, boleh angkat dan ulang sampai bancuhan tepung habis digunakan.
6. Akhir sekali, boleh gulung bersama inti kelapa yang sudah disejukkan tadi. Siap untuk dinikmati!
Resepi Kuih Ketayap simple ini sangat sesuai dijadikan sebagai idea sarapan dan minum petang yang lazat untuk seisi keluarga di rumah.
Selamat mencuba!
Sumber: Rahimah Ali
Baca juga: Kuih Limas Perak Paling Asli, Nak Hasil Lembut Bergedik Pakai Resipi Ini