Anda yang berasal dari Terengganu mesti suka kalau dapat tahu resepi Keropok Lekor Homemade bukan? Boleh buat sendiri dan makan sepuasnya pada bila-bila masa.
Dari mana asalnya perkataan Keropok Lekor? Pada zaman awal pembuatannya, orang kampung guna isi ikan yang dicampur dengan tepung sagu.
Bila kedua-dua bahan dicampur dan diuli, adunan tersebut dihempuk-hempuk dan hasilkan bunyi “kelepok”. Lama-lama, “keropok” dijadikan nama kepada hidangan ini.
Ada orang kampung gentel keropok sehingga panjang dan bila direbus, ia kelihatan berlingkar. Perkataan “lekor” adalah dari perkataan “lingkar”, maka jadilah Keropok Lekor.
Di sini kami kongsikan resepi Keropok Lekor Homemade daripada Ayu Hidayu di Facebook. Caranya cukup mudah!
Baca juga: Cara Buat Sendiri Sos Keropok Lekor, Resipi Original Dari Terengganu
RESEPI KEROPOK LEKOR HOMEMADE
Bahan-bahan penyediaan keropok lekor:
- 20 hingga 25 ekor Ikan Temenung Lemak (ambil isi)
- 2 cawan tepung ubi
- 1 cawan tepung gandum
- Garam ajinomoto
- 1 sudu baking powder
Cara-cara penyediaan keropok lekor:
1. Kisar isi ikan dengan sedikit air (agak-agak asalkan boleh dikisar)
2. Gaulkan isi ikan yang telah dikisar dengan tepung ubi, tepung gandum, garam, ajinomoto, baking powder. Tak perlu tambah air.
3. Uli sampai jadi doh. Kemudian letak sikit minyak bagi doh licin.
4. Kemudian gentel jadi panjang mana yang anda nak.
5. Masa nak gentel tu letak sikit minyak di pelapik supaya tak melekat. Sambil-sambil itu boleh rebuskan air dulu dalam kuali besar.
6. Selepas air mendidih, masukkan keropok yang dah digentel tadi. Masak sampai keropok itu terapung naik maknanya dah masak elok. Toskan dan sejukkan sebelum dipotong.
Bahan-bahan penyediaan sos pencicah:
- 3 sudu cili kering (dikisar)
- 1 cawan air
- 1sudu besar cuka
- 2 sudu gula
- Garam , ajinomoto
- Seketul gula merah
- Sedikit air asam jawa
- 1 sudu tepung jagung
Cara-cara penyediaan sos pencicah:
1. Campurkan semua dalam periuk kecuali tepung jagung. Kacau sampai mendidih.
2. Kemudian masukkan bancuhan tepung jagung. Kacau sampai likat dan tutup api. Siap!
Dah tahu resepi Keropok Lekor Homemade ini, bolehlah buat untuk minum petang. Lebih sedap makan bersama sos pencicah.
Selamat mencuba!
Sumber: Ayu Hidayu
Baca juga: Cara Goreng Keropok Lekor Guna Air Fryer, Tapi Hasil Sama Macam Pakai Kuali, Rangup & Lembut!