Sudah selalu makan ayam percik, apa kata hari ini anda cuba kelainan dengan resepi Ikan Percik yang disalut dengan kuah yang cukup menyelerakan?
Perkongsian Afy AL Habibi di Facebook menunjukkan resepi Ikan Percik yang sangat menarik dengan isi yang berjus. Jom cuba!
Baca juga: Cara Simpan Ikan Paling Mudah, Lebih Sebulan Pun Nampak Segar Lagi
RESEPI IKAN PERCIK
Bahan-bahan:
- 5 ekor ikan kembung
- 2 batang serai
- 5 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 1½ inci kunyit hidup
Bahan kuah percik:
- 5 biji bawang merah kecil*
- 2 ulas bawang putih*
- ½ hiris nipis halia*
- Secubit belacan*
- ½ sudu besar serbuk ketumbar* (disangai dan dikisar halus)
- 6 senduk santan segera
- 1 senduk air
- 1½ sudu besar cili kisar (cili kering bersaiz paling besar)
- ½ biji limau nipis
- 2½ sudu besar gula
- ½ sudu besar garam
- Secubit serbuk perasa
Cara-cara:
1. Basuh bersih dan kelar ikan, kemudian hiris nipis serai, bawang putih, halia dan kunyit hidup.
2. Masukkan bahan hirisan ke dalam pengisar dan tambahkan ¾ sudu besar garam serta 1 sudu kecil serbuk perasa, kemudian kisar sehingga lumat.
3. Lumur rata bahan kisar pada ikan, kemudian perap selama 20 minit. Sementara itu, boleh buat kuah percik.
4. Kisar semua bahan kuah percik bertanda (*) sehingga lumat, kemudian masukkan bahan kisar ke dalam periuk.
5. Tambahkan 6 senduk santan segera dan masukkan 1½ sudu besar cili kisar, kemudian letak periuk atas dapur dan buka api dapur yang perlahan.
6. Perahkan limau nipis, kemudian masukkan 2½ sudu besar gula, ½ sudu besar garam dan secubit serbuk perasa.
7. Kacau kuah dengan api dapur sederhana besar, kemudian tutup api dapur setelah kuah berbuih mendidih.
8. Mula bakar ikan di atas bara api, jangan bakar sehingga kering garing supaya isinya kekal berjus.
9. Sendukkan kuah percik dan ratakan atas badan ikan, buat kedua-dua belah bahagian. Boleh ulang dua kali untuk memastikan kuah melekat. Siap untuk dihidang!
Jika anda nak buat resepi Ikan Percik yang berwarna putih, anda tak perlu tambahkan cili kisar semasa memasaknya.
Selamat mencuba!
Sumber: Afy AL Habibi
Baca juga: Ikan Kembung Goreng Berlada, Guna Resipi Pantas Ini Untuk Siapkannya