bubur lambuk pantai timur

Bubur lambuk pantai timur memang menjadi kegemaran ramai kerana ia ada keistimewaannya yang tersendiri. Berbeza dengan bubur lambuk di sesetengah negeri yang menggunakan daging atau ayam, versi Pantai Timur ini lebih terkenal dengan penggunaan ikan serta campuran pelbagai daun herba yang menaikkan aroma dan rasanya.

Keunikan bubur ini terletak pada gabungan daun kesum, daun kaduk, daun kunyit dan pucuk paku merah atau pucuk midin. Campuran bahan-bahan ini menghasilkan rasa yang lebih wangi, berlemak dan cukup menyelerakan. Tidak hairanlah ramai yang sanggup mencari pucuk paku merah semata-mata untuk mendapatkan rasa asli bubur lambuk ini.

Menariknya, ada satu petua yang boleh mempercepatkan proses memasak bubur iaitu dengan membekukan beras terlebih dahulu. Beras yang telah dibekukan akan lebih cepat hancur ketika dimasak, sekali gus menjadikan tekstur bubur lebih lembut dan pekat. Jika anda teringin menikmati hidangan tradisional Pantai Timur di rumah, boleh cuba resipi perkongsian ini.

Baca juga: Resipi Chinese Congee, Bubur Ayam Ala Cina Ini Sangat ‘Simple’ Tapi Penuh Rasa!

RESEPI BUBUR LAMBUK PANTAI TIMUR

bubur lambuk pantai timur

Bahan-bahan:

  • 2 cawan beras (cawan plastik rice cooker)
  • Air secukupnya
  • 5 ekor ikan kembung
  • 5 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • Sedikit halia
  • 1 sudu lada hitam
  • 2 batang serai (diketuk)
  • 1 ikat pucuk paku merah atau pucuk midin
  • Daun kesum secukupnya
  • Daun kaduk secukupnya
  • Daun kunyit secukupnya
  • 1 kotak santan
  • 1 ketul kiub ikan bilis
  • Garam secukup rasa

Cara-cara penyediaan:

  1. Cuci bersih beras, masukkan ke dalam bekas bertutup dan tambah sedikit air. Simpan di dalam peti sejuk beku sehingga beras membeku.
  2. Rebus ikan kembung sehingga masak. Asingkan isi daripada tulang dan kisar isi ikan hingga halus.
  3. Kisar bawang merah, bawang putih, halia dan lada hitam sehingga lumat.
  4. Siang serta bersihkan pucuk paku merah, daun kesum, daun kaduk dan daun kunyit. Hiris halus jika perlu.
  5. Masukkan beras yang telah dibekukan bersama air secukupnya ke dalam periuk.
  6. Tambahkan serai yang telah diketuk, isi ikan yang dikisar dan bahan kisar tadi.
  7. Masak sehingga bubur mula pekat dan beras hancur, kira-kira 20 minit.
  8. Masukkan santan bersama semua daun herba dan pucuk paku merah.
  9. Tambahkan kiub ikan bilis dan garam secukup rasa. Kacau selalu supaya santan tidak pecah.
  10. Apabila bubur mencapai kepekatan yang diingini dan semua bahan telah masak sempurna, tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Tip tambahan:

  • Jika sukar mendapatkan pucuk paku merah atau pucuk midin, anda boleh mencarinya secara dalam talian atau di pasar yang menjual sayur-sayuran dari Sarawak.
  • Gunakan ikan yang segar untuk mendapatkan rasa manis semula jadi dalam bubur.
  • Kacau bubur secara berkala ketika memasak bagi mengelakkan ia berkerak di bahagian bawah periuk.

Sumber: Zainab Abu Bakar

Baca juga: Resipi Bubur Ayam Tumis Darat Yang Sedap Tak Terkata, Makan Sampai Licin Periuk!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Popular

Artikel Popular

Video Terkini

Restoran Pilihan JJCM

Laura Medina Cafe

Menyajikan "world menu", antaranya sajian Barat, Korea dan tempatan.

Mari Makan

Menyediakan pelbagai masakan Barat dan tempatan.

Restoran Gegey (Shah Alam)

Mula beroperasi sejak tahun 2016, Restoran Gegey menawarkan lima jenis hidangan nasi pada harga dibawah RM8.00!

RESTORAN PILIHAN