Setiap kali memikirkan hidangan yang lazat untuk orang tersayang, terus tercetus idea untuk cuba resepi Ayam Sambal Bali di rumah.
Orang Malaysia sangat suka makanan dari negara-negara jiran terutamanya Indonesia yang terkenal dengan pelbagai resepi sedap belaka seperti resepi Ayam Sambal Bali.
Perkongsian resepi Ayam Sambal Bali oleh Khadijah Jaafar di Facebook ini bukan saja mudah dibuat, malah aroma dan sedapnya tak terkata. Jom kita cuba!
Baca juga: Cara ‘Defrost’ Ayam Sepantas 5 Minit, Sekejap Je Dah Boleh Guna Untuk Masak!
RESEPI AYAM SAMBAL BALI
Bahan-bahan:
- 1 ekor ayam (potong kecil)
- 1 sudu kecil serbuk kunyit
- 4 sudu besar cili kering yang sudah dikisar (nak pedas, tambah lagi)
- 2 sudu besar kicap manis (ikut pada selera)
- 2 batang serai (diketuk)
- 1 biji cili merah (dihiris)
- 2 atau 3 helai daun limau purut
- Garam dan gula secukup rasa
Bahan kisar:
- 2 biji bawang besar
- 3 ulas bawang putih
- ½ inci halia
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, perapkan ayam dengan garam dan kunyit.
2. Selepas itu, gorengkan ayam separuh masak.
3. Kemudian, ambil sedikit minyak gorengan ayam tadi untuk menumis. Tumiskan bahan kisar dengan cili kering sehingga pecah minyak.
4. Seterusnya, masukkan serai dan daun limau purut. Tumiskan sehingga naik bau.
5. Masukkan ayam dan gaulkan dengan sambalnya. Perasakan dengan garam dan gula. Tutup kuali dengan penutup. Biàrkan ayam masak dan sebati dengan sambalnya.
6. Apabila ayam sudah masak, taburkan cili. Siap untuk dihidang!
Ayam Sambal Bali ini bukan saja sesuai dijadikan lauk pada hari biasa, malah anda juga boleh jadikannya sebagai idea menu menarik untuk kenduri atau jamuan Hari Raya.
Walaupun rasanya seperti ayam masak kicap, namun Ayam Sambal Bali ini mempunyai aroma yang lebih memikat selera dan sedap dimakan bersama nasi putih yang panas.
Selamat mencuba!
Sumber: Khadijah Jaafar
Baca juga: Resepi Ayam Cili Kering Simple, Dah Cuba Gerenti Angau Sampai Seminggu!