PENULIS
myResipi
KATEGORI
Artikel
POSTED ON
2020-09-10 04:24:55
Bagi yang sukakan aktiviti barbeku, sudah pasti daging kambing ini menjadi antara kegemaran mereka. Namun, untuk membeli kambing perap yang ‘ready made’, kita memerlukan kos yang agak tinggi kerana harganya yang mahal di pasaraya. Oleh itu, apa kata kita cuba cara yang lebih berbaloi dengan memerap daging sendiri di rumah. Jimat pun jimat! Jom ikuti perkongsian resipi ini daripada Farmiza Masur menerusi Facebooknya.
Bahan perapan:
- 2kg kepingan kambing
- 1 paket sos lada hitam
- 1 labu bawang putih (dikupas)
Cara memasak:
- Basuh daging kambing sebersihnya dan toskan bagi membuang air lebihan.
- Kemudian, potong dadu separuh labu bawang putih tadi manakala separuh lagi dikisar bersama sos lada hitam.
- Ambil kepingan daging kambing tadi dan celupkan ke dalam sos hingga rata.
- Selepas itu, letakkan daging kambing yang sudah disalut sos tadi ke dalam bekas dan perapkan selama 2 hari seeloknya. Ini supaya rasa perapan benar-benar menyerap ke dalam isi kambing.
- Setelah cukup diperap, panggang daging kambing seperti biasa sehingga masak. Anda boleh menikmatinya dengan memakan bersama kentang putar dan sos lada hitam.
Bahan sos lada hitam:
- 1 tin sos carbonara berkrim
- 2 biji ubi kentang rebus (dilenyek)
- Susu segar (sukatan 1 tin sos carbonara)
- ¾ sudu makan lada hitam (dikisar halus)
- 3 ulas bawang putih (dipotong dadu)
- 2 sudu makan mentega
- Kicap manis secukupnya
- Garam secukupnya
Cara memasak:
- Panaskan kuali lalu cairkan mentega dan tumis bawang putih sehingga naik bau.
- Masukkan sos carbonara, susu dan kentang yang dilenyek tadi. Pastikan anda sentiasa menggaulnya supaya tidak hangus.
- Kemudian, masukkan serbuk lada hitam dan kicap. Sukatan kicap perlu diagak-agak sehingga mendapat warna yang dikehendaki. Selepas itu, tambahkan juga garam secukup rasa.
- Kepekatan sos ini mengikut cita rasa masing-masing. Tambahkan air atau susu sehingga mendapat tekstur yang anda ingini.
Siap! Sedia untuk dihidang dan dinikmati bersama keluarga. Selamat mencuba!