Jom buat Kuih Ulat Bulu yang popular di Pantai Timur ini. Namanya yang unik ini tidak selari dengan kesedapannya tau. Sekali imbas, kuih tersebut seperti onde-onde, namun bentuknya sedikit bujur.
Mesti ada yang berfikir bukan-bukan kerana nama sajian ini dinamakan sebagai kuih ulat bulu. Ada asal usul di sebaliknya tau.
Ia dinamakan kuih ulat bulu kerana taburan kelapa yang membaluti kuih berkenaan. Alasan itu nampak pelik tetapi itulah hakikat yang perlu kita terima.
Baca juga: Kuih Putu Ayu Cheese Anti Gagal, Memang Lembut Dan Gebu Hasilnya
Di Terengganu, ada juga yang memanggil kuih ini dengan nama kuih kepompong kerana bentuknya seperti kelongsong rama-rama jika diwarnakan dengan ungu gelap.
Di negeri Kelantan pula, kuih ulat bulu itu lazimnya kelihatan berwarna hijau, merah dan ungu hasil ekstrak bunga talang.
Inti kuihnya, orang dulu-dulu memang hanya letak inti kacang merah atau kelapa sahaja. Tapi zaman moden ini, dah boleh letak bermacam jenis inti mengikut selera masing-masing.
Tanpa membuang masa, jom kita ikuti resipi dari perkongsian Cik Puan Norfazida Gda di laman Facebook ini. Memang wajib mencuba cara membuat kuih warisan lama ini.
RESIPI KUIH ULAT BULU INTI KACANG MERAH
Bahan-bahan:
- 1 1/2 cawan tepung pulut
- 1 sudu besar tepung gandum
- 1/2 sudu kecil air kapur
- Air secukupnya
- Sedikit pewarna pilihan
- Inti kacang merah
- Kelapa parut/kelapa muda (putih sahaja)
- Sedikit garam
Cara membuatnya:
1. Campurkan tepung pulut, tepung gandum dan air kapur dan kacau rata.
2. Tuangkan air sedikit demi sedikit sambil digaul menjadi adunan yang lembut dan tidak melekat di tangan.
3. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan letakkan pewarna yang berlainan setiap satu bahagian. Uli hingga warna sebati.
4. Ambil sedikit adunan, letakkan inti dan bulat-bulatkan. Kemudian, gelekan dengan kedua-dua tapak tangan sehingga menjadi bentuk bujur atau memanjang. Buat sehingga habis adunan.
5. Dalam periuk/kuali panaskan air hingga mendidih. Masukkan adunan yang telah siap dibentuk tadi. Rebus sehingga timbul bermakna sudah masak.
6. Angkat dan tapiskan airnya. Masukkan ke dalam bekas yang mengandungi kelapa parut yang telah di gaul dengan garam. Salut kuih dengan kelapa. Siap!
TIPS: Kukus isi kelapa parut dengan secubit garam bagi mengelakkan kuih cepat basi.
Wah! Kalau tengok kepada cara pembuatan dia, tak lari jauh dari buat kuih buah melaka. Bezanya, kuih buah melaka menggunakan inti manisan atau gula kabung sedangkan kuih ulat bulu menggunakan inti kacang merah.
Untuk galakkan anak-anak makan, boleh pelbagaikan lagi warna yang ada atau boleh juga tukarkan inti dengan manisan.
Selamat mencuba!
Baca juga: Kuih Nekbat Cara Marbitter, Kuih Tradisi Pantai Timur Yang Popular Ketika Ramadan