Dalam banyak-banyak kuih klasik, terdapat satu kuih yang tak pernah lapuk dek zaman iaitu Kuih Cara Berlauk dan sampai sekarang masih ada yang membuatnya.
Perkara menarik tentang Kuih Cara Berlauk yang disukai ramai adalah intinya yang meriah dan boleh dipelbagaikan mengikut selera masing-masing.
Bagaimana membuat Kuih Cara Berlauk yang hasilnya sempurna? Anda hanya perlu mengikut resipi yang dikongsikan oleh Arm Ika di Facebook ini. Jom kita cuba!
Baca juga: Kuih Cara Manis Versi Jagung, Lembut Dan Lemak Manis Tetap Rasa Klasik
RESIPI KUIH CARA BERLAUK
Bahan-bahan adunan:
- 2 cawan tepung gandum
- 2 cawan air
- 1 cawan santan (sederhana pekat)
- 1 biji telur
- 2 sudu besar minyak
- 1 sudu kecil garam
- Pewarna kuning
Bahan-bahan inti:
- Minyak (untuk menumis)
- Bawang merah dan putih (tumis)
- Serbuk kari secukupnya
- Garam dan gula secukupnya
- Bawang besar (dipotong dadu)
- Ayam atau daging (dicincang)
- Air sedikit
- Daun sup dan cili merah (untuk hiasan)
Cara menyediakan adunan:
– Campur semua bahan adunan sehingga sebati dan tepung tak berketul. Siap untuk digunakan!
Cara menyediakan inti:
1. Tumis bawang, masukkan serbuk kari dan air. Masak sehingga pecah minyak, masukkan ayam, daging atau kentang.
2. Tuang sedikit air untuk ayam atau daging masak sepenuhnya. Kemudian, masukkan bawang besar dan perasakan.
3. Masak sehingga air kering. Siap untuk digunakan!
Cara-cara membuat kuih cara:
1. Panaskan acuan atas dapur dengan api perlahan. Sapukan minyak pada acuan.
2. Tuangkan adunan tepung tadi, jangan penuh sangat sebab nanti nak letak inti.
3. Apabila sudah nampak tepi-tepi bertukar warna ke kuning terang sedikit daripada warna adunan tepung, bolehlah letak inti di tengah-tengah.
4. Selepas letak inti, hiaskan dengan daun sup dan cili merah.
5. Selepas itu, tutup dengan penutup atau tudung periuk.
6. Lebih kurang dalam 3 hingga 4minit, jika kuih sudah masak boleh angkat acuan dan keluarkan kuih.
7. Ulang langkah yang sama sehingga habis adunan. Siap untuk dinikmati!
*Saya cungkil sikit dengan lidi dan angkat satu-satu, letak dalam bekas.
*Saya tak terbalikkan acuan sebab nanti kuih cara jadi tak cantik, inti terkeluar
Selamat mencuba!
Sumber: Arm Ika
Baca juga: Resepi Kuih Ropa Berinti Sedap, Guna Sukatan Ini Pasti Rangupnya Menjadi!