PENULIS

myResipi

KATEGORI

Artikel

POSTED ON

2020-08-14 03:42:34

Tahukah anda? Buah tembikai mempunyai khasiat yang tinggi untuk kesihatan tubuh badan. Kalau kita tahu tentang khasiat-khasiat yang ada dalam tembikai ini, pasti kita akan memakannya setiap hari. Buah tembikai ini bukan sahaja mengandungi rendah kalori dan lemak, tetapi juga mengandungi vitamin dan mineral yang diperlukan untuk kesihatan tubuh badan. Terdapat beberapa jenis buah tembikai yang sering menjadi kegemaran orang ramai. Antaranya adalah tembikai merah, tembikai susu dan tembikai wangi. Oleh itu, jom kita lihat khasiat-khasiat terdapat dalam ketiga-tiga buah tembikai ini yang dikongsikan oleh UPMC Health Beat. 


Kredit: Redaksi
 

1. TEMBIKAI MERAH (WATERMELON)


Kredit: Wanista 

Tembikai merah ini boleh dikenali dengan warna cerahnya, yang bukan hanya nampak menyelerakan tetapi juga turut menambah manfaat dari segi pemakanan. Antara khasiat yang terkandung dalam tembikai merah ini termsuklah Likopen dan Fitonutrien. Manfaat Likopen ini mempunyai tahap antioksidan yang kuat. Ianya dapat membantu mencegah kerosakan sel, dan turut membantu mencegah beberapa jenis barah. Secara saintifiknya, semakin pekat warna tembikai, semakin banyak kandungan Likopen terdapat di dalamnya. Bagi khasiat Fitonutrien pula, manfaatnya adalah ianya mampu meningkatkan kekuatan kardiovaskular dalam diri seseorang.

 

2. TEMBIKAI SUSU (HONEYDEW)

 
Kredit: USDA

Tembikai susu ini sangat terkenal dengan rasa manis-manis lemak yang kuat dan menyelerakan berbanding tembikai lain. Tahukah anda? Tembikai susu ini memberi gula semulajadi yang akan terus memberi tenaga kepada sel tubuh kita sepanjang hari. WaIaupun rasa lemak tembikai ini kuat, hakikatnya kandungan lemak buah ini juga rendah. Tembikai susu ini juga mengandungi beberapa vitamin dan mineral utama seperti Vitamin C, Vitamin B, Kalium, dan Tembaga.

Kalium merupakan mineral penting yang terdapat dalam tembikai susu ini. Ianya berfungsi  untuk mengekalkan kesihatan jantung dengan memastikan degupan jantung kita dalam kadar yang teratur. Selain itu, Tembaga pula membantu dalam pertumbuhan semula sel kulit, yang menjadi kunci utama kulit yang sihat. Vitamin B di dalam buah tembikai ini bertindak membuang toksin-toksin dalam badan yang boleh menyebabkan penyakit. Manakala Vitamin C pula terbukti dapat meningkatkan sistem kekebalan tubuh, seperti dengan menguatkan tisu serta meningkatkan fungsi otak yang sihat.

 

3. TEMBIKAI WANGI ( CANTELOUPE)


Kredit: MedicalNewsToday

Tembikai ini juga menjadi antara kegemaran orang ramai untuk memakannya. Antara khasiat yang terdapat dalam buah tembikai wangi ini termasuklah Karatenoid, Folat dan Vitamin A. Khasiat Karatenoid ini berfungsi sebagai antioksidan yang kuat untuk membantu mengekalkan fungsi mata yang sihat. Ini sangatb penting kerana penglihatan merupakan salah satu nikmat yang paling besar untuk kita gunakan dalam kehidupan. Oleh itu, penting untuk kita menjaga penglihatan kita dengan memakan buah-buah sihat seperti tembikai wangi ini. Selain itu, Folat pula berfungsi untuk memelihara sel-sel dalam badan kita. Ia juga menjadi elemen penting untuk pertumbuhan sel yang sihat.

 

Sekiranya anda baru mula memakan buah-buahan untuk kesihatan, amalkan memakan buah tembikai ini kerana manfaatnya sangat banyak untuk tubuh badan kita. Semoga maklumat ini berguna untuk semua. Walaubagaimanapun, jangan lupa untuk sentiasa berkonsultasi dengan doktor mengenai kesihatan diri.