Seronoknya jika dapat menikmati hidangan kerang sambal serai bersama keluarga pada malam hari. Terutamanya jika dapat memperoleh kerang jenis besar dan isi padat-padat. Memang tak puas nak meratah dibuatnya!
Walaupun tidak ramai yang gemar memakan kerang, namun anda seharusnya mencuba resipi yang lazat ini.
Baca juga: Ayam Masak Cili Kering, Manis-Manis Pedas Masakan Cina Ini
Dengan hasil yang dicampur dengan serai, kerang yang mungkin pada mulanya tidak menarik perhatian anda, akan berubah menjadi salah satu hidangan kegemaran. Lebih-lebih lagi, aroma serai akan meningkatkan selera anda, anak-anak, dan seluruh keluarga.
Untuk memasak kerang serai ini, langkah-langkah dan petunjuknya ada. Dengan mengikuti setiap langkah yang diajar, orang yang tidak pandai memasak pun boleh menjadi mahir. Mari kita lihat resipinya!
RESIPI KERANG SAMBAL SERAI
Bahan-bahan:
- 1 kg kerang
- 2 batang serai
- 2 labu bawang besar
- 3 ulas bawang putih
- 6 tangkai cili merah/cili kering
- 4 cm halia
- 3 helai daun limau purut
- 3 sudu besar sos tiram
- 50 ml air
- Minyak untuk menumis
- Garam secukupnya
Cara-cara penyediaan:
1. Mula-mula, bersihkan kerang dengan teliti. Kisar serai, halia, bawang besar, dan bawang putih. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga harum.
2. Selepas itu, masukkan daun limau purut dan terus tumis sehingga keluar aroma yang wangi.
3. Seterusnya, tambahkan kerang ke dalam kuali. Gaul rata dan biarkan sebentar.
4. Tambahkan cili yang telah dikisar, pastikan ia sebati dengan kerang.
5. Selanjutnya, tambahkan sos tiram. Tuangkan sedikit air dan tambahkan garam mengikut selera. Masak kerang sehingga kulitnya terbuka. Setelah masak, hidangkan dengan segera.
Selamat mencuba!
Sumber: Emma Haleigh
Baca juga: Daging Masak Sos Tiram, Resipi Mudah Sedap Dan Enak!