kek marble tanpa butter

Kek marble tanpa butter kini menjadi pilihan ramai kerana lebih menjimatkan, namun hasilnya tetap lembut, gebu dan naik cantik seperti menggunakan butter. Rahsianya terletak pada teknik mengadun yang betul serta penggunaan minyak masak yang membantu mengekalkan kelembapan kek.

Perkongsian resipi oleh Nur Ain di Facebook turut mendapat perhatian ramai kerana menggunakan bahan yang mudah didapati dan sesuai dicuba oleh sesiapa sahaja. Jika anda sedang mencari kek yang tidak terlalu manis untuk dinikmati bersama teh atau kopi, resipi ini memang berbaloi untuk dicuba.

Baca juga: Durian Serawa Rupanya Lagi Sedap Dijadikan Topping Butter Cake, Lembut Sampai Cair Di Mulut

RESIPI KEK MARBLE TANPA BUTTER

kek marble tanpa butter

Bahan-bahan:

  • 3 biji telur gred A atau B
  • 1 sudu besar ovalette
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • 1 sudu kecil serbuk penaik (diayak)
  • ¾ cawan tepung gandum (diayak)
  • Secubit garam
  • ½ cawan gula
  • ¼ cawan susu cair
  • 3 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu besar serbuk koko (diayak)
  • Setitis emulco coklat (pilihan)

Cara-cara Penyediaan:

1. Masukkan telur, ovalette, esen vanila, serbuk penaik, tepung gandum, garam dan gula ke dalam mangkuk pengadun.

2. Pukul menggunakan pengadun elektrik selama 10 hingga 12 minit sehingga adunan bertukar putih, gebu dan membentuk puncak.

3. Masukkan susu cair bersama minyak masak, kemudian kaup balik perlahan menggunakan spatula sehingga sebati.

4. Bahagikan adunan kepada dua bahagian yang sama banyak.

5. Masukkan serbuk koko yang telah diayak ke dalam satu bahagian adunan bersama setitis emulco coklat, kemudian kaup perlahan sehingga sekata.

6. Sapu sedikit marjerin atau minyak pada loyang bersaiz 6 inci.

7. Tuang adunan putih dan coklat secara berselang-seli bagi menghasilkan corak marble.

8. Hentakkan loyang beberapa kali untuk membuang gelembung udara.

9. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 160°C menggunakan api atas dan bawah selama 40 hingga 50 minit atau mengikut kesesuaian oven masing-masing.

10. Setelah masak, keluarkan kek dan biarkan sejuk sebelum dipotong.

Tips Kek Marble Tanpa Butter Jadi Gebu

  • Pastikan telur berada pada suhu bilik supaya adunan lebih mudah mengembang.
  • Ayak tepung gandum bersama serbuk penaik bagi menghasilkan tekstur kek yang lebih halus.
  • Pukul adunan sehingga benar-benar putih dan bertanduk kerana langkah ini menjadi rahsia utama kek naik cantik.
  • Selepas memasukkan minyak masak, hanya kaup balik menggunakan spatula dan jangan pukul semula menggunakan pengadun elektrik.
  • Panaskan oven lebih awal sekurang-kurangnya 10 minit sebelum membakar.
  • Elakkan membuka pintu oven dalam 30 minit pertama bagi mengelakkan kek mendap.
  • Uji kek menggunakan lidi. Jika lidi keluar bersih, bermakna kek sudah masak sepenuhnya.

Kek marble tanpa butter ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah menghasilkan tekstur yang lembut, gebu dan kekal moist walaupun hanya menggunakan minyak masak. Sesuai dijadikan hidangan minum petang bersama keluarga atau sebagai kudapan untuk tetamu yang datang berkunjung.

Selamat mencuba!

Sumber: Nur Ain

Baca juga: Brownies 3 Bahan Ini Hanya Guna Air Fryer, Tak Perlu Oven Pun Tetap Jadi Gebu!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Popular

Artikel Popular

Video Terkini

Restoran Pilihan JJCM

Laura Medina Cafe

Menyajikan "world menu", antaranya sajian Barat, Korea dan tempatan.

Mari Makan

Menyediakan pelbagai masakan Barat dan tempatan.

Restoran Gegey (Shah Alam)

Mula beroperasi sejak tahun 2016, Restoran Gegey menawarkan lima jenis hidangan nasi pada harga dibawah RM8.00!

RESTORAN PILIHAN