Mak-mak paling suka masak ikan kembung untuk makan tengah hari dan malam. Anda boleh gunakannya untuk cuba buat Ikan Masak Halia dengan stail berkuah!
Cara untuk menyediakan Ikan Masak Halia ini sangat mudah. Lebih digalakkan untuk anda guna ikan segar dan halia muda.
Jika anda suka hidangan berkuah, boleh cuba resipi Ikan Masak Halia berkuah yang dikongsikan oleh Norzianah Osman di Facebook ini.
Baca juga: Resipi Ikan Terubuk Masin Masak Sambal Cili Api, Selera Kampung!
RESIPI IKAN MASAK HALIA BERKUAH
Bahan-bahan:
- 3 hingga 4 ekor ikan kembung
- 8 biji cili padi (diketuk atau dibelah dua)
- 3 ulas bawang merah (ditumbuk kasar atau dikisar)
- 2 ulas bawang putih (ditumbuk kasar atau dikisar)
- 1/2 lobak merah (dipotong bulat)
- Sebiji tomato sederhana besar (dipotong enam)
- Sebiji bawang besar (dipotong 4 dan dicerai kelopaknya)
- 1 inci halia (dihiris nipis seperti mancis)
- 1 sudu kecil lada hitam (ditumbuk kasar)
- 1/4 lada benggala (dipotong kecil)
- 1/2 sudu kecil pati ayam
- 1/2 cawan air
- sedikit kicap
- sos tomato, sos cili, dan sos tiram
- sedikit garam dan gula
Cara-cara:
1. Perap ikan dengan garam, serbuk kunyit, sos tiram dan sedikit serbuk lada hitam selama 20 minit.
2. Panaskan minyak dalam kuali, kemudian goreng ikan tadi sehingga nampak garing dan ketepikan.
3. Tumis bahan yang telah dikisar tadi bersama halia sampai naik bau dan kekuningan.
4. Masukkan bawang besar, cili padi, lobak merah, dan lada benggala. Selepas itu kacau sebatikan.
5. Masukkan sos cili, sos tiram, sos tomato, sedikit kicap, dan air, kemudian kacau rata.
6. Bila dah nampak mendidih, masukkan ikan yang telah digoreng tadi dan kacau rata.
7. Akhir sekali, masukkan pati ayam, garam, gula, dan buah tomato, kemudian kacau rata dan sesuaikan dengan selera anda. Siap!
Jika tiada ikan kembung di rumah, anda boleh juga guna resipi Ikan Masak Halia berkuah ini untuk ikan jenis lain. Ia tetap rasa sedap dengan aroma halia yang menawan.
Selamat mencuba!
Sumber: Norzianah Osman
Baca juga: Ikan Kembung Goreng Berlada, Guna Resipi Pantas Ini Untuk Siapkannya