
Kek Pisang Terbalik atau Banana Upside Down Cake merupakan pencuci mulut klasik yang sentiasa menjadi kegemaran ramai kerana gabungan rasa manis karamel, kelembutan kek serta aroma pisang yang harum. Cara membuat Kek Pisang Terbalik sebenarnya tidak sesukar yang disangka, asalkan tekniknya betul dan bahan digunakan dengan tepat.
Keistimewaan kek ini terletak pada lapisan karamel di bahagian bawah loyang yang disusun dengan pisang berangan masak ranum. Selepas dibakar dan diterbalikkan, pisang akan menjadi hiasan utama di atas kek, menjadikan rupanya bukan sahaja cantik tetapi juga menyelerakan.
Jika anda sedang mencari resipi kek pisang yang berbeza daripada biasa, Kek Pisang Terbalik ini memang wajib dicuba dan sesuai untuk minum petang, majlis keluarga atau sebagai pencuci mulut istimewa.
Baca juga: Cara Buat Kek Coklat Moist ‘Leleh’ Guna Blender, Tak Perlu Mixer & Mesti Jadi!
CARA MEMBUAT KEK PISANG TERBALIK

Bahan-bahan karamel:
- 100 gram gula pasir
- 6 biji pisang berangan (dibelah dua memanjang)
Bahan-bahan adunan kek pisang:
- 160 gram tepung gandum
- 60 gram tepung jagung
- 2 biji pisang (dilecek halus)
- 2 sudu teh baking powder
- ½ sudu teh baking soda
- 3 biji telur (asingkan putih dan kuning)
- 50 ml minyak masak atau mentega cair
- 40 ml air
- ¼ sudu teh garam
- 140 gram gula kastor
- 125 ml susu cair
Cara-cara penyediaan karamel:
1. Masukkan gula pasir ke dalam loyang dan panaskan di atas api kecil sehingga gula cair dan bertukar warna perang keemasan.
2. Goyangkan loyang perlahan-lahan ke kiri dan kanan tanpa mengacau supaya karamel rata.
3. Tutup api dan biarkan karamel sejuk sehingga mengeras.
4. Griskan bahagian tepi loyang dengan mentega.
5. Susun pisang berangan di atas karamel dengan kemas dan rapat. Ketepikan.
Cara-cara penyediaan kek pisang:
1. Pukul putih telur bersama garam sehingga kental dan bertanduk. Ketepikan.
2. Ayak tepung gandum, tepung jagung, baking powder dan baking soda.
3. Dalam bekas lain, pukul kuning telur bersama gula kastor, air dan minyak masak sehingga adunan kembang dan berwarna cerah.
4. Masukkan campuran tepung sedikit demi sedikit berselang-seli dengan susu cair pada kelajuan rendah hingga sebati.
5. Masukkan pisang lecek dan gaul rata.
6. Kaup balikkan adunan putih telur secara perlahan-lahan sehingga sebati.
7. Tuang adunan ke dalam loyang yang telah disediakan bersama karamel dan pisang.
8. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 180°C selama 45 minit atau sehingga masak.
9. Setelah masak, biarkan kek sejuk seketika sebelum diterbalikkan ke atas redai.
Tips supaya kek pisang terbalik cantik dan tidak melekat:
- Gunakan pisang berangan yang masak ranum untuk rasa lebih manis dan tekstur cantik.
- Jangan terbalikkan kek ketika masih panas kerana boleh menyebabkan pisang melekat.
- Jika karamel mengeras, lap bahagian bawah loyang dengan kain suam sebelum diterbalikkan.
- Gunakan loyang berkualiti supaya haba sekata.
Kek Pisang Terbalik bukan sahaja cantik dipandang, malah rasanya sangat memuaskan dengan gabungan manis karamel dan kelembutan kek pisang. Jika anda sedang mencari cara membuat kek pisang yang lain daripada biasa, resipi ini pasti tidak mengecewakan.
Selamat mencuba!
Sumber: suzana-ciksue.blogspot.com
Baca juga: Wanita Ini Ajar Cara Buat Kek Jantung Pisang Tanpa Oven, Boleh Guna Kuali Je!
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














