
Kalau sebut suhun, kebanyakan kita biasa makan versi sup bersama fucuk dan sambal. Tapi tahukah anda, cara masak suhun goreng ala Thai ini sebenarnya lebih sedap, berlemak dan sangat mengenyangkan?
Resipi ini diinspirasikan daripada perkongsian Nor Yuslizah Mohamed, yang mula mengenali suhun goreng selepas berkahwin dengan orang Thailand. Teknik masaknya hampir sama seperti goreng mihun, cuma rasanya lebih ‘naik’ dengan penggunaan sos ikan dan santan.
Baca juga: Petua Suhun Tak Kembang Bila Masak, Kuah Jadi Cantik & Tak Cepat Kering!
CARA MASAK SUHUN GORENG ALA THAI

Bahan-bahan:
- 350 gram suhun
- 2 ulas bawang holland (dimayang)
- 5 ulas bawang putih (dimayang)
- 3 biji telur
- Segenggam udang kering (direndam)
- 2 biji cili hidup (dimayang)
- Udang basah (ikut suka)
- Sotong (ikut suka)
- Isi ayam (dipotong kecil)
- Kubis (dihiris nipis)
- Lobak merah (pilihan)
- 2 sudu besar sos ikan / sos sotong
- 3 sudu besar santan
- ½ cawan air (untuk cairkan santan)
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
- Sikit kicap (pilihan, untuk warna)
- Perasa (jika suka)
- Minyak untuk menumis
- Limau (jika suka, untuk perah sebelum makan)
Cara-cara penyediaan:
1. Rendam suhun dengan air biasa sehingga lembut. Toskan dan ketepikan.
2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang holland, bawang putih dan udang kering hingga naik bau.
3. Masukkan isi ayam, sotong dan udang. Masak sehingga separuh masak.
4. Pecahkan telur, gaul rata dan perasakan dengan garam, gula serta perasa ikut selera.
5. Masukkan sos ikan / sos sotong dan sedikit kicap jika suka. Biarkan kuah mereneh seketika.
6. Masukkan suhun dan santan cair. Gaul perlahan hingga semua bahan sebati.
7. Masak sehingga suhun menyerap kuah dan kelihatan sedikit kering berkilat.
8. Masukkan cili hidup, kacau sekejap dan tutup api. Sedia untuk dihidang. Jika suka, boleh perah sedikit limau sebelum makan.
Tips penting supaya suhun goreng jadi cantik dan tak lembik:
- Jangan rendam suhun terlalu lama
- Masukkan santan sedikit sahaja, cukup beri rasa lemak
- Kacau perlahan supaya suhun tidak putus
- Masak hingga kuah betul-betul meresap sebelum tutup api
Kalau anda sedang cari cara masak suhun goreng yang sedap, mudah dan lain daripada biasa, versi ala Thai ini memang wajib cuba. Sekali masak, confirm jadi menu ulang!
Selamat mencuba!
Sumber: Nor Yuslizah Mohamed
Baca juga: Cara Masak Sup Suhun Telur Sedap Dan Sihat, Tetap Kenyang Walau Tanpa Nasi!
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














