Pelbagai menu lazat disediakan sewaktu kenduri kahwin di Malaysia. Setelah dapat tahu ada cara buat Nasi Tomato yang sering dihidangkan untuk pengantin, serius tak sabar nak cuba.
Nasi Tomato merupakan salah satu menu yang sangat sesuai dijadikan sebagai pilihan untuk pelbagai jenis majlis kenduri. Selain itu, hidangan ini juga mudah didapati di bazar sewaktu bulan Ramadan.
Kali ini, kami nak kongsikan cara buat Nasi Tomato daripada Suria Baharin di Facebook yang sangat mudah dan hasilnya memang menyelerakan. Jom kita cuba!
Baca juga: Ayam Masak Merah Kenduri Kahwin, Guna Minyak ‘Ini’ Baru Ada Aroma Pengantin!
CARA BUAT NASI TOMATO
Bahan-bahan:
- 5 pot beras
- 5 pot air (tambah 1 pot jika beras panjang)
- 1 tin sup tomato Kimball
- ½ tin susu cair
- 4 sekawan
- 3 labu bawang besar
- 6 ulas bawang putih
- 1 ibu jari halia
- Minyak sapi atau marjerin
- Daun pandan
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, rendam beras selama setengah jam terlebih dahulu.
2. Sementara itu, boleh tumbuk bawang besar, bawang putih dan halia.
3. Kemudian, masukkan minyak sapi ke dalam periuk biasa dahulu dan panaskan.
4. Selepas itu, masukkan bahan yang telah ditumbuk tadi bersama 4 sekawan dan daun pandan dan tumis sebentar.
5. Apabila sudah naik wangi, boleh masukkan sup tomato dan tunggu sampai mendidih.
6. Setelah mendidih, masukkan susu cair dan 5 pot air dan biarkan sampai mendidih lagi.
7. Jika kelihatan sudah mendidih elok, masukkan beras yang telah direndam tadi.
8. Apabila sudah elok bersalut, boleh masukkan dalam periuk nasi dan masak seperti biasa.
9. Akhir sekali, kacau-kacau sedikit dan taburkan kismis serta daun ketumbar. Siap untuk dihidang!
Cara buat Nasi Tomato ini sesuai digandingkan bersama ayam masak merah, daging masak kicap dan jelatah. Jika ada semuanya, barulah lengkap dan terasa seperti makan di kenduri.
Selamat mencuba!
Sumber: Suria Baharin
Baca juga: Resepi Nasi Hujan Panas Beraroma, Cantik Dan Lembut Terlerai Kejadiannya