Bila masuk saja bulan Ramadan, anda semua pasti sudah mula memikirkan kuih raya apa mahu dibuat untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri kan? Antara kuih raya yang terkenal adalah biskut semperit.
Jika ikut resipi yang dikongsikan oleh Puan Noriza Awang Hamat ini, anda hanya perlu menggunakan 3 bahan untuk menghasilkannya.
Resipi ini juga tidak perlu menggunakan oven. Jadi, jika anda tiada oven pun boleh buat biskut ini. Jom cuba!
Baca juga: Resipi Coklat Almond Cluster Guna 3 Bahan, Tak Perlu Bakar Dalam Oven
Resipi Biskut Semperit Tanpa Oven
Bahan-bahan semperit:
- 1 paket tepung jagung 350 gram
- 1/2 cawan susu pekat manis
- 1 cawan planta
Cara-cara membuat adunan semperit:
1. Kacau planta dengan susu pekat. Kemudian masukkan tepung jagung dan uli manja menggunakan tangan sahaja.
2. Jika adunan masih lembik, tambah tepung jagung sedikit demi sedikit sehingga adunan tidak keras dan tidak terlalu lembik.
Cara bakar guna dapur gas:
1. Ambil kuali atau periuk bertutup. Alas pelapik besi untuk sokong alas dulang serta dapur gas. Pastikan penutup kuali ada aliran udara supaya biskut naik cantik dan masak sekata.
2. Tak perlu letak air dalam kuali kerana sudah ada pelapik besi sebagai sokongan untuk dulang biskut.
3. Sebelum mula membakar, panaskan sekejap kuali dan alas pelapik besi dalam 10 minit. Kemudian barulah letak dulang untuk membakar biskut.
4. Tidak perlu sapu minyak pada dulang biskut. Gunakan api paling kecil sepanjang proses membakar.
5. Masa membakar mengikut jenis biskut. Contohnya biskut semperit ambil masa 15 minit sehingga kekuningan.
Kredit: Noriza Awang Hamat