Musim durian yang tiba membuatkan ramai mencari resipi yang menggunakan durian. Jika begitu, anda boleh cuba buat Bubur Kacang Hijau Durian yang penuh dengan aroma.
Resipi Bubur Kacang Hijau Durian yang dikongsikan oleh Afy AL Habibi di Facebook ini cukup menarik perhatian ramai kerana rupanya yang sangat menyelerakan. Jom cuba!
Baca juga: Bubur Jagung Sagu, Elak Langkah Ini Supaya Rasa Aslinya Tak Hilang
RESIPI BUBUR KACANG HIJAU DURIAN
Bahan-bahan:
- 3 cawan kacang hijau
- 4-5 cawan air
- 2 cawan santan pekat
- 1 hiris (nipis) halia
- 2 helai daun pandan
- 3 sudu makan gula melaka
- Beberapa ulas isi durian kampung
- Sedikit gula putih
- ½ sudu teh garam
Cara-cara:
1. Basuh kacang hijau hingga bersih dan rendam selama 1 jam.
2. Buang air rendaman dan masukkan air baru sebanyak 4 hingga 5 cawan. Rebus guna api perlahan hingga empuk. Kacang hijau yang empuk akan kembang dan lembik bila dipicit. Jika kacang masih keras, tambah air panas.
3. Setelah kacang empuk, masukkan santan. Jika suka bubur yang berkuah banyak, tambah air dan santan.
4. Bagi menaikkan aroma, masukkan halia dan daun pandan, kemudian masak selama 2 minit dan keluarkan hirisan halia supaya baunya tidak kuat.
5. Masukkan gula melaka dan kacau sebati.
6. Masukkan juga beberapa ulas isi durian kampung dan kacau sebati lagi.
7. Tambahkan lagi gula dan garam untuk menaikkan rasa lemak santan, kemudian biarkan kuah mendidih beberapa kali.
8. Apabila semua sudah cukup rasa, boleh padamkan api. Siap untuk dinikmati!
Bubur Kacang Hijau Durian ini mempunyai rasa pekat, cukup lemak manis dengan gandingan kacang hijau bersama durian yang menambahkan lagi kelazatannya.
Jika masih ada lebihan, jangan risau kerana anda boleh jadikannya sebagai aiskrim Malaysia pula. Selepas itu, anda boleh masukkan dalam peti sejuk di bahagian sejuk beku.
Selamat mencuba!
Sumber: Afy AL Habibi
Baca juga: Bubur Cha Cha, Lembut Dan Lemak Manis Sampai Makan Berulang Kali