Orang Malaysia begitu kreatif dalam menghasilkan pelbagai resipi apam sampaikan boleh terfikir untuk buat Apam Cornetto yang sangat comel.
Adryan Hamka telah kongsikan cara buat Apam Cornetto di Facebook yang cukup mudah dengan menggunakan 3 bahan saja. Jom kita cuba!
Baca juga: Kuih Apam Puri Inti Kastard, Setiap Gigitan Rasa Lembut Berkrim Yang Puas!
RESIPI APAM CORNETTO 3 BAHAN
Bahan-bahan:
- 330 gram tepung spongemix (tak guna 250 gram sebab stail saya buat adunan lebih dari cup)
- 4 biji telur gred A
- Esen vanilla
Cara-cara membuat:
1. Mula-mula, guna kertas nasi lemak saiz D dan potong 8, kemudian lipat dan jadikan seperti kon aiskrim (boleh lihat video tutorial di sumber).
2. Sediakan pengukus gas (pengukus yang lubangnya besar, jika lubang kecil tak muat nak letak kon aiskrim, air kukusan jangan banyak sebab takut basah bahagian bawah kon aiskrim nanti).
3. Masukkan kon aiskrim ke dalam pengukus dan susun rapat-rapat (bahagian licin di luar, kasar di dalam, alas pengukus dengan besen kecil supaya stabil apabila letak kon sebab muncung bawah mesti terkeluar).
4. Selepas itu, mix tepung gandum, telur dan esen vanilla sampai gebu (guna kelajuan mixer yang paling laju).
5. Bahagikan adunan kepada dua dan letak pewarna ikut kesukaan (nak cantik kena 2 layer saja jadi warna tak serabut sebab kon ini saiznya kecil, jika 3 layer nanti nampak tak kemas).
6. Masukkan adunan pertama ke dalam semua kon aiskrim, kemudian adunan kedua pula.
7. Seterusnya, kukus adunan selama 10 minit dengan menggunakan api perlahan.
8. Sementara itu, boleh sediakan topping coklat dengan menggunakan dark coin Beryl’s dengan teknik double boil.
9. Setelah apam siap masak, boleh curahkan topping coklat di atas kon aiskrim.
10. Akhir sekali, bekukan sekejap dalam peti ais di bahagian sejuk beku selama 10 minit. Siap!
Apabila sekali pandang, memang nampak seperti aiskrim. Tapi siapa sangka, Apam Cornetto sebenarnya adalah kuih apam yang sering kita makan selama ini.
Kanak-kanak memang suka makan makanan yang comel dan berwarna-warni. Jika anda buat Apam Cornetto ini untuk anak tersayang, pasti mereka menyukainya nanti.
Selamat mencuba!
Sumber: Adryan Hamka
Baca juga: Cara Buat Apam Bunny Viral, Wanita Ini Kongsi Teknik Sampai Hasil Jadi Comel