aneka resipi ikan

Ada ikan mentah di dapur tapi tak tahu nak masak apa? Mari lihat aneka resipi ikan kembung untuk masakan kampung ini. Memang sesuai dimakan bersama seisi keluarga.

Ikan kembung atau ikan temenung ini dah macam ikan wajib ada dalam peti sejuk. Selain daripada rasanya yang lazat, harganya juga tidak terlalu mahal. Yang menariknya, ikan kembung boleh digunakan untuk menyediakan pelbagai jenis masakan mengikut selera. 

Baca juga: Jenis Ulam Kampung Yang Popular, Banyak Khasiat Yang Ramai Tak Tahu

Bagi anda yang tidak tahu, ikan kembung, ikan mabung, atau ikan pelaling semuanya berasal dari keluarga yang sama, hanya berbeza dalam saiz. Ikan mabung lebih besar dengan isi yang lebih padat, manakala ikan pelaling adalah yang paling kecil, dengan saiz badan selebar 2 jari sahaja.

Di bawah ini, MyResipi ingin berkongsi aneka resipi ikan lauk kampung yang boleh disediakan menggunakan ikan kembung atau ikan temenung ini.

ANEKA RESIPI IKAN KEMBUNG MASAKAN KAMPUNG

1. Asam Pedas Ikan Kembung

Aneka resipi ikan

Bahan-bahan:

  • 2 ekor ikan kembung – siap disiang
  • 2 paket sambal tumis segera
  • 2 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • Segenggam asam jawa dengan bancuhan secawan air
  • 4 tangkai daun kesum
  • 1 inci belacan
  • 1 biji tomato – belah empat
  • Sedikit kacang bendi
  • Minyak masak
  • 1 sudu besar garam
  • Air secukupnya untuk kuah

Cara-cara penyediaan:

  1. Kisar bawang besar dan bawang putih. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau.
  2. Masukkan sedikit belacan dan pes sambal segera.
  3. Kacau semua bahan hingga pecah minyak. Seterusnya masukkan air asam jawa.
  4. Tambahkan sedikit air biasa untuk kuah secukupnya. Bila kuah sudah sedikit mendidih, masukkan daun kesum dan perasakan dengan garam.
  5. Apabila kuah semakin kuat mendidih, masukkan ikan yang sudah bersih dan siang. Biarkan seketika untuk ikan masak sepenuhnya.
  6. Akhir sekali, masukkan kacang bendi dan tomato. Bila bendi sudah empuk, dan lauk pun sudah cukup rasa. Boleh padamkan api.

2. Ikan Kembung Masak Berlada

aneka resipi ikan

Bahan-bahan kisar:

  • 6 biji cili merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 biji bawang merah
  • 2 senduk (sup) minyak masak

Bahan-bahan lain:

  • 1 senduk (sup) minyak masak
  • 1 sudu makan serbuk perasa (sy guna Knorr)
  • ½ sudu kecil garam
  • ½ sudu kecil gula
  • ¼ cawan air
  • 1 sudu kecil kicap lemak manis
  • 5 ekor Ikan kembung siap digoreng garing (kunyit + garam)

Bahan hiasan:

  • Tomato ceri
  • Daun ketumbar

Cara-cara memasak:

  1. Bersihkan ikan kembung. Dan lumurkan sedikit dengan garam dan kunyit.
  2. Goreng sehingga garing dan ketepikan.
  3. Sementara itu, kisar bahan kisar sehingga hancur. Keluarkan minyak goreng ikan tadi, tinggalkan satu sudu sahaja. Tumis bahan kisar hingga naik bau dan sedikit garing.
  4. Kemudian, masukkan sedikit gula, perasa makanan dan sedikit air.  Kacau rata dan tunggu sekejap sehingga mendidih kuah pakat. Perasakan dengan garam.
  5. Seterusnya, masukkan kicap. Kacau sebentar dan tutup api. Gaulkan dengan ikan goreng tadi.
  6. Siap dan boleh dihidangkan.

Tip tambahan: 

  • Tumis cili sampai betul-betul masak supaya hilangkan bau cili 
  • Kisar bahan itu dengan menggunakan minyak masak. Boleh elakkan meletup-letup ketika tumis nanti

Baca juga: Tip Lembutkan Ayam Pencen (Ayam Kampung), Masukkan INI Masa Rebus

3. Ikan Kembung Rebus Air Asam

Bahan-bahan: 

  • 2 ekor ikan kembung segar (saiz besar)
  • 1 cawan air untuk merebus ikan
  • 1 keping asam gelugur
  • 1 cawan air untuk sos air asam
  • ½ biji lemon diperah ambil airnya
  • 1 sudu kecil pes asam jawa
  • 1 sudu kecil penuh garam gunung
  • 1 sudu kecil gula merah
  • 1 biji bawang besar (saiz S) – dihiris nipis
  • 1 batang lada merah dipotong kecil
  • 6 batang cili padi merah dan hijau dipotong kecil

Cara-cara penyediaan:

  1. Ikan yang dah dibersihkan, rebus dahulu dengan asam keping. Tutup periuk dengan penutup supaya cepat masak.
  2. Sementara itu, kacau larut garam dan gula merah dengan satu cawan air. Kacau sampai larut.
  3. Bila sudah larut, masukkan jus lemon dan hirisan bawang besar sekali. Ketepikan.
  4. Ikan yang direbus tadi, bila dah masak, keluarkan ikan dari dalam periuk letakkan dalam pinggan untuk dihidangkan.
  5. Air rebusan tadi, tapis dan masukkan sedikit dalam bancuhan air garam dan tadi. Rasakan dulu biar cukup masam, masin dan manisnya.
  6. Bila rasa dah sebati, taburkan cili padi dan cili merah.
  7. Akhir sekali, curah kuah asam atas ikan rebus tadi. Siap dan sedia dihidangkan.

4. Masak Singgang Ikan Temenung

Bahan-bahan:

  • 6 ekor ikan temenung
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 ulas bawang merah
  • 1 batang serai
  • 2 tangkai cili api
  • 1 inci kunyit hidup
  • 2 keping asam keping
  • 1 sudu teh ajinomoto
  • Belacan – sebesar hujung jari kelinking
  • Garam secukup rasa

Cara-cara penyediaan:

  1. Pertama sekali, bersih dan siangkan ikan.Kemudian terus masukkan ke dalam periuk.
  2.  Seterusnya, masukkan asam keping. Ketuk serai, kunyit, bawang putih, bawang merah, cili padi menggunakan lesung batu. Ketuk satu-persatu dan masukkan ke dalam periuk.
  3. Tuang air ke dalam periuk, agak-agak ikan tenggelam saja.
  4. Masukkan sedikit belacan. Masak dengan api yang sederhana. Biarkan sehingga api masak. Rasa dan jika dah okay boleh padamkan api.

5. Gulai Ikan Kembung

Bahan-bahan:

  • 10 ekor ikan kembung
  • 4 sudu besar rempah kari ikan
  • 1 cawan santan
  • 2 cawan air
  • 3 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 sudu kecil halba campur
  • 1 tangkai daun kari
  • 2 sudu air asam jawa
  • 4 sudu besar minyak masak
  • 1 biji tomato – dibelah 4
  • 4 biji kacang bendi

Cara-cara penyediaan:

  1. Mula-mula sekali, panaskan minyak. Kemudian, tumis bawang, halba campur dan daun kari. Tumis sampai naik bau.
  2. Bancuh serbuk kari dengan sedikit air. Kacau sebati dan masukkan dalam periuk. Masak sampai rempah pecah minyak.
  3. Seterusnya, masukkan air asam jawa. Tuang santan dan air. Biarkan kuah mendidih. Kacau juga sesekali supaya santan tak pecah.
  4. Boleh tambah air jika kuah pekat. Jika memang nak makan dengan kuah pekat, tak perlu tambah air.
  5. Bila kuah dah mendidih, perasakan dengan garam. Kemudian, masukkan tomato dan juga kacang bendi. Biarkan sekejap sehingga sayur masak.
  6. Akhir sekali, baru masukkan ikan kembung. Ikan ni masuk akhir sekali sebab tak mahu terlalu hancur isi ikan nanti.
  7. Bila dah cukup rasa, boleh padamkan api dan sedia dihidangkan.

Selamat mencuba aneka masakan kampung menggunakan ikan kembung ini. 

Sumber: Facebook Resipi Masakan Kampung

Baca juga: Masak Lemak Putih Buah Gajus Dengan Sotong, Lauk Kampung Kegemaran Ramai

Resipi Popular

Artikel Popular

Video Terkini

Restoran Pilihan JJCM

Laura Medina Cafe

Menyajikan "world menu", antaranya sajian Barat, Korea dan tempatan.

Mari Makan

Menyediakan pelbagai masakan Barat dan tempatan.

Restoran Gegey (Shah Alam)

Mula beroperasi sejak tahun 2016, Restoran Gegey menawarkan lima jenis hidangan nasi pada harga dibawah RM8.00!

RESTORAN PILIHAN