Resepi kek sarang semut ini cukup mudah untuk dicuba. Jika sebelum ini selalu beli saja, kali ini apa kata jom kita cuba buat sendiri.
Tak susah pun nak buat. Yang penting tak perlu peram adunan, jimat masa! Selepas adunan siap dikacau, sudah boleh terus bakar.
Walaupun tak peram, ‘sarang’ pada kek tetap menjadi elok. Ikut saja resipi hasil perkongsian oleh Puan Siti Hadirah di bawah.
Baca juga: 5 Variasi Resipi Kek Pisang Yang Ringkas, Semuanya Sedap-Sedap!
RESEPI KEK SARANG SEMUT BERSARANG & BERONGGA
Bahan-bahan:
- 3 biji telur
- 1 cawan tepung gandum
- 1 cawan gula
- 1 cawan air panas
- 3 sudu besar marjerin (cairkan dulu yaa)
- 5 sudu besar susu pekat
- 1 sudu kecil soda bikarbonat
- Esen vanilla
Cara-cara:
1. Masak gula sehingga menjadi warna perang. Kemudian masukkan air panas sedikit demi sedikit sambil kacau.
2. Dalam bekas lain, pecahkan telur kemudian kacau perlahan menggunakan whisk. Masukkan susu pekat, esen vanilla dan marjerin yang dah dicairkan. Kacau sehingga sebati.
3. Masuk tepung yang sudah siap diayak dengan soda bikarbonat. Kacau sehingga hilang ketulan tepung. Akhir sekali tuang air gula tadi dan sambung kacau sehingga adunan sebati.
4. Sapu loyang dengan marjerin sebelum tuangkan adunan.
5. Cara memasaknya adalah bakar atas dapur. Tekniknya, letak loyang atas periuk. Panaskan dulu periuk lebih kurang 7 minit kemudian baru letakkan loyang, Tutup tudung dan tunggu sehingga kek masak.
6. Pastikan guna api kecil, adunan ini tak perap terus bakar. Air gula masukkan panas-panas dalam adunan tepung. Selamat mencuba!
Kredit resipi dan gambar: Siti Hadirah
Baca juga: Cara Buat Kek Marble Gebu Guna Sukatan Cawan, 1 Resipi Boleh Buat Pelbagai Perisa!