Mari kita cuba masak Rendang Maman Ayam Pencen yang merupakan perkongsian oleh Cik Puan Nurul Othman ini.
Menurutnya, beliau menggunakan santan yang pekat supaya hasil masakan rasa lebih berlemak.
Beliau turut berkongsikan tips ayam tidak menjadi hancur selepas dipanaskan semula. Berikut merupakan perkongsiannya:
“Selalunya bila pergi menghala Kuala Pilah baru jumpa maman. Nak dijadikan rezeki, Sabtu lepas pergi ke Pasar Chow Kit dan terpandang peniaga sayur jual maman. Saya tak banyak cakap, memang ‘borong’ habiskan sayur maman itu ada dalam 3.5 kg.
Baca juga: Tip Buat Telur Masin Sedap Guna Telur Ayam Pencen, Cantik Kejadiannya
Maman ini saya masak pakai santan yang pekat baru sedap rasa lemaknya. Saya guna ayam pencen barulah isinya tak hancur bila kita panaskan 2 hingga 3 hari.”
RESIPI RENDANG MAMAN AYAM PENCEN
Saiz hidangan: 5-10 orang makan
Bahan-bahan:
- 2/3 ekor ayam pencen
- 3kg sayur maman
- 3kg santan ( santan pekat tak campur)
- 10 keping asam keping
- 2 buku kunyit hidup
- 45 biji cili api kampung (nak pedas boleh tambah cili, saya buat tak pedas sebab anak nak makan)
- Garam secukup rasa
Cara-cara memasak:
1. Siang ambil daun maman, batang maman ambil yg lembut sahaja , basuh dan toskan supaya tidak terlalu basah.
2. Ayam pencen potong mcm biasa dan cuci bersih masukkan ke dalam kuali.
3. Kisar kunyit dan cili api, campurkan ke dalam ayam tadi. Kacau bagi bahan serap sekata dan sehingga ayam empuk ( Proses ni lama nak cepat saya masuk dalam pressure cooker 40minit dah empuk pindahkan balik masuk kuali besar).
4. Masukkan santan. Kemudian, kacau ayam dan air cili itu supaya rata dengan santan. Renihkan.
5. Setelah kuah pekat masukkan asam keping.
6. Bila santan pekat dan mendidih, baru masukkan daun maman sedikit demi sedikit. Kecilkan api supaya bawah tidak hangus.
7. Buat perlahan-lahan supaya daunnya layu dan tenggelam. Setelah layu, barulah dikacau rata garamnya. Angkat dan hidang!
Pantang larang ketika memasak:
- Ingat, jangan kacau daun maman selagi belum layu. Ini kerana nak elak maman pahit.
- Semasa basuh daun maman juga elak dari terperah daun untuk elak pahit.
- Cara basuh rendam dalam air besen dan pastikan pasirnya hilang. Ulang 3 kali basuhan. Toskan supaya ketika masukkan sayur maman dalam kuali, ia tidak basah.
- Pastikan api kecil sebab sepanjang nak tunggu layu, tak boleh kacau. Jadi, api kecil boleh elak dasar rendang hangit.
- Santan yang cukup barulah menghasilkan minyak kehitaman.
Selamat mencuba resipi Rendang Maman Ayam Pencen ini.
Baca juga: Jenis Rendang Yang Ada Di Malaysia Mengikut Negeri, Banyak Variasi Rupanya!