Aspek kebersihan dalam penyediaan makanan perlulah dijaga terutama sekali premis-premis makanan yang bertugas menyediakan makanan kepada para pelanggan mereka.
Hal ini disebabkan pelbagai penyakit berbahaya boleh dijangkiti jika makanan itu disediakan dalam keadaan yang tidak bersih dan tidak sepatutnya.
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan Notis Pengesahan Pembatalan Lesen (NPPL) berkuat kuasa serta-merta ke atas premis makanan yang tular dengan kejadian seekor tikus menjamah ayam goreng dalam pemanas makanan.
Artikel berkaitan: KKM Akan Laksana Pelabelan Kalori Makanan Di Restoran, Kafeteria
Yang Dipertua MPAJ, Mohd Fauzi Mohd Yatim, menegaskan tindakan sitaan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen juga akan dilakukan sekiranya premis berkenaan masih beroperasi setelah NPPS dikeluarkan.
Justeru, pihaknya hanya akan mempertimbangkan permohonan lesen baharu jika semua syarat terutama berkaitan kebersihan dipatuhi sepenuhnya.
“NPPL yang berkuat kuasa serta-merta akan dikeluarkan ke atas premis makanan tersebut selaras dengan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, yang telah mengeluarkan Notis Perintah Tutup pada 24 Disember lalu ke atas premis berkenaan.
“Pemeriksaan kebersihan premis makanan dari segi kawasan penyajian dan penyediaan makanan serta kawalan serangga perosak di premis juga dijalankan secara berkala oleh MPAJ.
“MPAJ mengambil berat isu yang telah berlaku ini dan tindakan akan diambil ke atas mana-mana premis makanan yang mengambil mudah tentang aspek kebersihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan rekod pemeriksaan lalu, Mohd Fauzi berkata pihaknya mendapati penarafan kebersihan di premis terbabit adalah pada Gred B bagi Jun 2021 dan terbaru pada Januari lalu.
Bagi memastikan tahap kebersihan di premis makanan sentiasa terjamin, beliau berkata MPAJ sentiasa melakukan pemantauan kawalan kebersihan bagi memastikan syarat dan peraturan ditetapkan pihaknya sentiasa dipatuhi.
“Sehingga 30 November lalu, sebanyak 1,057 premis makanan diperiksa dan 259 kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UKK) 9(f) Pengenalan Makanan MPAJ 2007 dan UKK 19(1)(d) Establisymen Makanan MPAJ 2007.
“Justeru, orang ramai juga boleh melaporkan aduan berkenaan kebersihan premis di kawasan MAPJ melalui http://aduan.mpaj.gov.my,” katanya.
Sumber: Buletin Utama