Kalau suka makan agar-agar yang lembut, cantik dan mempunyai lapisan warna berbeza, boleh cuba resepi agar-agar coklat susu ini. Gabungan lapisan coklat dan putih bukan sahaja nampak menarik, malah rasanya juga lemak manis dan menyegarkan.

Menariknya, perkongsian Nur Amna di Facebook ini turut menggunakan petua orang lama iaitu menambahkan gula batu ke dalam adunan agar-agar. Hasilnya nampak cantik berkilat dan sekata. Memang sesuai dijadikan pencuci mulut untuk keluarga!

Baca juga: Resepi Agar-Agar Permata Guna 5 Bahan Paling Mudah, Cantik Macam Kristal & Menjadi Wajib Cuba

RESEPI AGAR-AGAR COKLAT SUSU GULA BATU

resepi agar agar coklat susu

Resepi agar-agar coklat susu ini menggunakan dua lapisan iaitu lapisan coklat dan lapisan putih. Kedua-duanya dimasak secara berasingan sebelum dituangkan ke dalam acuan secara berselang-seli.

Bahan-bahan lapisan coklat:

  • 10 gram serbuk agar-agar
  • 2 sudu besar serbuk dark chocolate
  • 1.5 liter susu coklat
  • 3 sudu besar gula
  • 1 ketul gula batu (anggaran 20 gram)
  • 1 sudu teh garam

Bahan-bahan lapisan putih:

  • 10 gram serbuk agar-agar
  • 1 liter susu segar (fresh milk)
  • 500 ml air
  • 2 sudu besar gula
  • 1 ketul gula batu (anggaran 20 gram)
  • 2 sudu besar susu pekat
  • 1 sudu kecil garam

Cara-Cara Penyediaan Agar-Agar Coklat Susu

1. Masak lapisan coklat

Masukkan serbuk agar-agar, gula, gula batu, garam dan susu coklat ke dalam periuk. Kacau sehingga bahan-bahan larut sebelum masukkan serbuk dark chocolate.

Masak menggunakan api sederhana sambil dikacau sehingga adunan mendidih. Setelah semuanya sebati, tutup api.

2. Masak lapisan putih

Dalam periuk berasingan, masukkan serbuk agar-agar, susu segar, air, gula, gula batu, susu pekat dan garam.

Kacau sehingga semua bahan larut dan masak sehingga mendidih. Kemudian tutup api.

3. Tuangkan lapisan coklat ke dalam acuan

Sediakan acuan pilihan. Tuangkan kira-kira 4 senduk adunan coklat ke dalam acuan dan biarkan seketika sehingga permukaannya mula mengeras.

4. Tambahkan lapisan putih

Apabila lapisan coklat sudah mula mengeras, tuangkan pula kira-kira 4 senduk adunan putih secara perlahan-lahan.

5. Ulang sehingga adunan habis

Ulang proses yang sama dengan menuangkan lapisan coklat dan putih secara berselang-seli sehingga kedua-dua adunan habis.

6. Sejukkan agar-agar

Biarkan agar-agar sejuk sebelum disimpan di dalam peti sejuk sehingga betul-betul mengeras. Setelah itu, bolehlah dikeluarkan daripada acuan dan dinikmati.

PETUA AGAR-AGAR CANTIK BERKILAT MENGGUNAKAN GULA BATU

Menurut perkongsian Nur Amna, penggunaan gula batu merupakan antara petua orang lama yang boleh dicuba ketika menyediakan agar-agar.

Dalam resepi ini, gula batu dimasukkan ke dalam kedua-dua adunan coklat dan putih. Petua ini dikongsikan untuk menghasilkan agar-agar yang nampak lebih cantik, berkilat dan sekata serta tidak mudah lembik atau berair apabila dibiarkan pada suhu biasa.

Selain itu, pastikan adunan agar-agar dimasak sehingga mendidih dan semua bahan larut dengan sempurna. Ketika membuat lapisan pula, tunggu sehingga lapisan sebelumnya mula mengeras sebelum menuangkan lapisan seterusnya supaya coraknya lebih kemas.

Memang menarik petua yang dikongsikan ini. Dengan gabungan rasa coklat dan susu serta lapisan yang cantik, resepi agar-agar coklat susu ini boleh dijadikan pilihan pencuci mulut untuk seisi keluarga.

Selamat mencuba!

Sumber: Nur Amna

Baca juga: Agar Agar Bandung Dengan 5 Bahan, Makan Sejuk-Sejuk Terus Kata Nikmat Dunia

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending