Kuih seri muka antara kuih tradisional yang cukup digemari ramai. Gabungan pulut yang lemak bersantan dengan lapisan atas yang manis menjadikan kuih ini sesuai dinikmati pada bila-bila masa.
Kali ini, jom cuba resepi seri muka gula merah perkongsian Faizah AF di Facebook. Walaupun permukaan kuihnya tidak begitu licin kerana terlupa memantau kukusan, hasilnya tetap sedap dan menyelerakan!
Baca juga: Resepi Kuih Lapis Sukatan Cawan, Lembut Berkilat Dan Cantik Berlapis Kejadiannya
RESEPI SERI MUKA GULA MERAH, PULUTNYA LEMAK DAN LAPISAN ATASNYA MANIS

Keistimewaan kuih seri muka ini terletak pada gabungan pulut bersantan di bahagian bawah dan lapisan adunan tepung yang menggunakan gula merah di bahagian atas.
Resipinya juga menggunakan sukatan cawan dan bahan-bahan yang mudah didapati. Dengan menggunakan loyang bersaiz 9 inci, boleh dapatkan satu loyang kuih seri muka yang sesuai untuk hidangan keluarga.
Bahan-bahan
Bahan pulut (bahagian bawah):
- 2 cawan beras pulut (rendam sekurang-kurangnya 2 jam)
- 1 cawan santan kotak
- 1 cawan air
- 1 sudu kecil garam
- 1 helai daun pandan
Bahan lapisan atas gula merah:
- 1 cawan tepung gandum
- 1/2 sudu besar + 1 sudu kecil tepung jagung
- 1/2 cawan gula (boleh kurangkan mengikut citarasa)
- 3/4 cawan gula merah
- 2 cawan santan kotak
- 1 biji telur
- 1/2 sudu kecil garam
Cara-cara penyediaan
1. Sediakan pulut
Basuh beras pulut yang telah direndam dan toskan airnya. Masukkan pulut ke dalam bekas bersama santan, air, garam dan daun pandan.
2. Kukus pulut
Kukus selama lebih kurang 30 minit atau sehingga pulut masak. Setelah siap, keluarkan daun pandan.
3. Masukkan pulut ke dalam loyang
Sediakan loyang bersaiz 9 inci yang telah dilapik dengan plastik atau disapu sedikit minyak.
Masukkan pulut yang telah dikukus ke dalam loyang. Ratakan dan tekan sehingga padat supaya lapisan bawah kuih menjadi sekata.
4. Sediakan adunan gula merah
Masukkan tepung gandum, tepung jagung, gula, gula merah, santan, telur dan garam ke dalam bekas.
Kacau semua bahan menggunakan whisk sehingga sebati. Kemudian, tapis adunan supaya tidak berketul.
5. Tuangkan adunan ke atas pulut
Tuangkan adunan gula merah yang telah ditapis secara perlahan-lahan ke atas pulut yang sudah ditekan padat tadi.
6. Kukus sehingga masak
Kukus selama lebih kurang 35 minit atau sehingga lapisan atas masak sepenuhnya.
Setelah masak, biarkan kuih sejuk terlebih dahulu sebelum dipotong supaya bentuknya lebih kemas.
Siap! Kuih seri muka gula merah sedia untuk dinikmati bersama keluarga.
TIPS SUPAYA PERMUKAAN KUIH SERI MUKA LEBIH CANTIK
Jika mahu mendapatkan permukaan kuih yang lebih licin dan kemas, boleh cuba beberapa petua ini:
- Pastikan adunan lapisan atas ditapis terlebih dahulu supaya tiada ketulan tepung.
- Kacau adunan sehingga betul-betul sebati sebelum dituang ke atas pulut.
- Gunakan api sederhana ketika mengukus supaya permukaan kuih masak dengan lebih sekata.
- Balut penutup pengukus dengan kain bersih supaya wap air tidak menitis ke atas permukaan kuih.
- Elakkan membuka penutup pengukus terlalu kerap ketika proses memasak.
Resepi seri muka gula merah ini memang menarik untuk dicuba, lebih-lebih lagi bagi penggemar kuih tradisional. Walaupun rupanya tidak semestinya sempurna, yang penting rasanya sedap dan dapat dinikmati bersama orang tersayang.
Terima kasih kepada Faizah AF atas perkongsian resipi ini!
Sumber: Faizah AF
Baca juga: Buat Kuih Seri Muka Licin & Cantik, Rupanya Kena Buka Tutup Kukusan Setiap 5 Minit
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM

