Kai See Hor Fun merupakan hidangan mi berkuah yang cukup popular di Ipoh, Perak. Hidangan ini terkenal dengan gabungan kuetiau halus, isi ayam dan udang yang disajikan bersama kuah sup jernih. Rasanya yang ringan tetapi penuh dengan aroma menjadikannya antara hidangan yang digemari ramai.

Keistimewaan Kai See Hor Fun terletak pada kuahnya yang menggunakan stok ayam bersama kepala dan kulit udang. Minyak udang yang dihasilkan turut menambahkan aroma serta rasa manis semula jadi pada kuah sup.

Hidangan ini sesuai dinikmati sebagai menu makan tengah hari atau makan malam bersama keluarga. Tambahan kicap cair dan cili padi ketika dihidangkan pula memberikan sentuhan rasa masin dan pedas mengikut cita rasa masing-masing.

Baca juga: Resipi Kuey Teow Kungfu Sedap, Hirup Kuahnya Makin Berselera

RESIPI KAI SEE HOR FUN

kai see hor fun

Bahan-bahan:

Bahan untuk sup:

  • 1.2 kg ayam atau seekor ayam bersama satu rangka ayam
  • 2 liter air
  • 500 g udang, asingkan kepala dan kulit
  • 1 sudu besar lada putih biji
  • Gula batu secukup rasa
  • Garam secukup rasa
  • 4 sudu besar minyak masak

Bahan mi dan hiasan:

  • 1 kg kuetiau halus
  • Isi dada ayam
  • Udang
  • Taugeh secukupnya
  • Daun kucai dipotong pendek
  • Bawang goreng secukupnya
  • 1 sudu besar minyak udang
  • Kicap cair secukupnya
  • Cili padi dicincang

Cara penyediaan:

  1. Masukkan ayam, rangka ayam, air dan lada putih biji yang dibungkus dalam uncang rempah ke dalam periuk. Didihkan dan reneh selama 1½ hingga 2 jam sehingga stok ayam terhasil.
  2. Angkat isi ayam dan biarkan sejuk. Kemudian, carik isi ayam dan ketepikan untuk digunakan sebagai bahan hiasan.
  3. Panaskan minyak masak dalam kuali. Goreng kepala dan kulit udang selama 10 hingga 12 minit sambil ditekan menggunakan sudip sehingga minyak udang keluar. Tapis dan asingkan minyaknya.
  4. Masukkan kulit udang yang telah digoreng ke dalam stok ayam. Reneh selama 30 minit lagi supaya rasa udang meresap ke dalam sup. Perasakan dengan gula batu dan garam secukupnya sebelum ditapis.
  5. Didihkan air dalam periuk berasingan. Celur kuetiau, udang, taugeh dan daun kucai secara berasingan selama beberapa saat sahaja.
  6. Masukkan kuetiau ke dalam mangkuk. Tambahkan isi ayam yang dicarik, udang, taugeh dan daun kucai.
  7. Tuangkan sup panas ke dalam mangkuk. Renjiskan minyak udang dan taburkan bawang goreng di atasnya.
  8. Hidangkan bersama kicap cair dan cili padi yang dicincang mengikut cita rasa.

Sumber: Threads @itssarakhalid

Baca juga: Kuey Teow Sup Sedap Ala Kopitiam, Hirup Kuahnya Terasa Nikmat Dunia

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending