Kalau suka kek coklat yang lembap, gebu dan kaya dengan rasa coklat, resipi kek coklat moist bakar ini memang wajib cuba. Walaupun dimasak menggunakan ketuhar dan bukannya dikukus, tekstur kek tetap moist, tidak kering dan cukup menyelerakan apabila dinikmati bersama chocolate topping.

Menariknya, adunan kek ini tidak memerlukan teknik yang rumit. Bahan-bahan hanya perlu dicampurkan mengikut turutan sebelum dibakar pada suhu yang ditetapkan. Malah, penyediaannya juga tidak memerlukan mixer kerana bahan-bahan boleh digaul menggunakan whisk atau garfu sahaja.

Resipi ini juga sesuai dibuat sehari lebih awal kerana tekstur kek akan menjadi lebih lembap selepas dibiarkan semalaman. Apabila digandingkan pula dengan topping coklat yang berkilat dan berkrim, memang susah hendak berhenti makan. Jom cuba!

Baca juga: Resipi Kek Marble Mudah, Tak Sangka Guna 4 Bahan Saja Dah Boleh Jadi Secantik Ini!

RESIPI KEK COKLAT MOIST BAKAR

kek coklat moist bakar

Bahan-bahan kek:

Bahan A:

  • 90 gram serbuk koko
  • 200 gram gula kastor
  • 200 gram minyak masak atau minyak jagung
  • 250 gram susu pekat
  • 1 tin susu cair

Bahan B:

  • 4 biji telur gred A
  • 1 sudu teh esen vanila
  • 1 sudu teh chocolate emulco

Bahan C:

  • 150 gram tepung gandum
  • 1 sudu teh baking powder
  • 1 sudu teh baking soda

Bahan coklat topping:

  • 200 gram coklat compound
  • 100 gram UHT whipping cream

Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan semua bahan A ke dalam periuk. Kacau sehingga sebati dan masak menggunakan api kecil.
  2. Teruskan mengacau perlahan-lahan sehingga adunan menjadi suam panas. Tidak perlu tunggu sehingga mendidih. Apabila periuk sudah panas dan adunan sebati, tutup api.
  3. Dalam bekas berasingan, satukan semua bahan B. Pukul menggunakan garfu atau whisk sehingga telur dan bahan-bahan lain sebati.
  4. Masukkan adunan bahan B ke dalam bahan A. Kacau sehingga semuanya bercampur rata.
  5. Ayak tepung gandum, baking powder dan baking soda daripada bahan C. Masukkan ke dalam adunan sedikit demi sedikit dan kacau sehingga sebati tanpa ketulan tepung.
  6. Sediakan loyang bersaiz 9 inci atau 8 inci jika mahukan kek yang lebih tebal. Sapu loyang dengan marjerin dan lapik bahagian bawahnya menggunakan baking paper.
  7. Tuangkan adunan kek ke dalam loyang dan ratakan permukaannya.
  8. Panaskan ketuhar pada suhu 170°C selama 10 minit terlebih dahulu.
  9. Kemudian, masukkan loyang dan bakar pada suhu 150°C selama 60 minit atau sehingga kek masak sepenuhnya.
  10. Setelah masak, keluarkan kek dan biarkan sejuk terlebih dahulu sebelum meletakkan chocolate topping.

Cara penyediaan coklat topping:

  1. Masukkan coklat compound ke dalam bekas tahan panas.
  2. Cairkan coklat menggunakan kaedah double boil sehingga teksturnya licin dan tidak berketul.
  3. Masukkan whipping cream dan kacau sehingga kedua-dua bahan sebati.
  4. Jika mahukan topping yang lebih pekat, boleh kurangkan sukatan whipping cream kepada 80 gram.
  5. Sejukkan kek terlebih dahulu. Jika mahu topping lebih mudah melekat dan kemas, simpan kek di dalam peti sejuk seketika sebelum dituang topping coklat.
  6. Tuangkan chocolate topping ke atas kek dan ratakan. Biarkan topping mengeras sedikit sebelum dipotong dan dihidangkan.

Tip: Untuk mendapatkan tekstur kek yang lebih moist, boleh buat kek sehari lebih awal dan biarkan ia disimpan dengan baik sebelum dinikmati. Selamat mencuba!

Sumber: Ika Zul

Baca juga: Jom Buat Kek Batik Horlick Viral Yang ‘Confirm’ Jadi Kegilaan Ramai, Bukan Versi Coklat Biasa!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending