Talam ubi antara kuih tradisional yang cukup menyelerakan dengan gabungan lapisan ubi kayu yang manis dan lapisan santan yang lemak serta lembut. Kalau dibuat dengan sukatan yang betul, hasilnya lebih cantik dan mudah dipotong.

Resipi talam ubi mudah ini dikongsikan oleh Mariana Zainal di Facebook. Selain menggunakan bahan yang mudah didapati, resipi ini turut berkongsi beberapa tip ketika mengukus supaya lapisan santan di atas tidak mudah rosak atau dipenuhi air wap.

Baca juga: Kuih Dadar Gulung Lembut & Cantik, Rupanya Ini Petua Mudah Buat Kulit Tak Berkedut

RESIPI TALAM UBI MUDAH

talam ubi

Resipi ini menggunakan loyang petak bersaiz 7 inci dan menghasilkan dua lapisan. Untuk rasa yang lebih berlemak, santan pekat atau santan segar boleh digunakan.

Bahan-bahan bahagian bawah

  • 2 cawan ubi kayu yang sudah disagat, jangan perah
  • 1 sudu besar tepung ubi
  • ½ cawan santan sederhana cair
  • ½ cawan gula pasir
  • ½ cawan gula merah
  • ½ sudu teh garam

Bahan-bahan bahagian atas

  • ½ cawan tepung gandum
  • ½ cawan tepung beras
  • ½ sudu besar tepung ubi
  • 2 cawan santan sederhana cair
  • ½ sudu besar gula
  • ½ sudu teh garam

Nota: Jika tidak mahu permukaan lapisan atas terlalu berlekuk, boleh tambah 1 sudu besar tepung beras.

Cara-cara penyediaan

  1. Panaskan air dalam pengukus sehingga mendidih.
  2. Sapu sedikit minyak pada loyang dan lapik dengan plastik.
  3. Satukan semua bahan bahagian bawah dan gaul rata.
  4. Masukkan ke dalam loyang dan kukus selama 15 hingga 16 minit.
  5. Satukan semua bahan bahagian atas dan kacau sebati.
  6. Lap sedikit permukaan bahagian bawah dengan tisu, kemudian tuangkan adunan bahagian atas.
  7. Kukus selama 30 minit menggunakan api sederhana perlahan.
  8. Setiap 10 minit, buka penutup pengukus dan lap bahagian bawahnya sebelum kukus semula.
  9. Selepas 30 minit, buka penutup dan kukus lagi selama 5 minit tanpa penutup.
  10. Angkat dan biarkan sejuk sepenuhnya sebelum dipotong.

Tips Ringkas

  • Jangan perah ubi kayu yang sudah disagat.
  • Tambah 1 sudu besar tepung beras untuk permukaan lebih cantik.
  • Lap penutup pengukus setiap 10 minit.
  • Gunakan api sederhana perlahan.
  • Sejukkan sepenuhnya sebelum dipotong.
  • Guna santan segar untuk rasa lebih berlemak.

Selamat mencuba!

Sumber: Mariana Zainal

Baca juga: Resepi Kuih Lopes Pulut, Tak Sangka Gulung Daun Pisang Buat Rasanya Lagi Istimewa

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending