Cara membuat roti boy homemade sebenarnya tidak sesukar yang disangka. Dengan doh roti yang lembut, inti mentega dan topping kopi yang harum, anda boleh hasilkan roti ala kedai ini sendiri di rumah menggunakan bahan yang mudah didapati.

Resipi yang dikongsikan oleh Efie Muhamad di Facebook ini menarik perhatian kerana aroma kopi yang semerbak ketika roti dibakar. Sekali buat, memang sesuai dijadikan hidangan sarapan atau teman minum petang bersama keluarga.

Baca juga: Roti Sandwich Telur Untuk Anak, Potong Dadu Semua Sayur Rupanya Buat Mereka Makan Licin

CARA MEMBUAT ROTI BOY

cara membuat roti boy

Roti Boy atau Mexico Bun terkenal dengan bahagian atasnya yang mempunyai lapisan topping kopi. Apabila dibakar, topping ini akan menghasilkan aroma kopi yang kuat, manakala bahagian dalam roti pula berisi mentega yang cair dan memberikan rasa lebih sedap.

Bahan-bahan:

Untuk doh roti:

  • 250 gram tepung gandum
  • 50 gram gula
  • 150 gram susu segar
  • 1 sudu mauripan
  • 30 gram mentega
  • Mentega yang dipotong kiub, secukupnya untuk inti

Untuk topping kopi:

  • 60 gram mentega
  • 30 gram gula
  • 2 sudu serbuk kopi
  • 2 sudu air suam
  • 1 biji telur
  • 70 gram tepung gandum

Cara-cara penyediaan:

1. Sediakan doh roti

Masukkan tepung gandum, gula, susu segar, mauripan dan mentega ke dalam breadmaker. Uli sehingga semua bahan sebati dan menghasilkan doh yang lembut.

2. Bentukkan doh

Keluarkan doh dan bahagikan kepada beberapa bahagian mengikut saiz yang dikehendaki. Bulat-bulatkan setiap bahagian doh.

3. Masukkan inti mentega

Ambil satu bahagian doh, leperkan sedikit dan letakkan mentega yang telah dipotong kiub di tengah. Tutup semula doh dan bulatkan supaya mentega berada di dalam.

4. Biarkan doh mengembang

Susun semua doh yang telah diisi mentega dan biarkan sehingga mengembang.

5. Sediakan topping kopi

Bancuh serbuk Nescafe dengan air suam dan ketepikan. Dalam bekas lain, pukul mentega bersama gula sehingga berkrim.

Masukkan telur dan pukul lagi sehingga sebati. Kemudian masukkan bancuhan Nescafe dan pukul sehingga rata.

Akhir sekali, masukkan tepung gandum dan pukul sehingga semua bahan sebati.

6. Paipkan topping

Masukkan adunan topping kopi ke dalam piping bag. Setelah doh mengembang, paipkan topping bermula dari bahagian tengah dan buat secara melengkar sehingga menutupi bahagian atas roti.

7. Bakar

Panaskan ketuhar dan bakar roti pada suhu 170°C selama kira-kira 20 minit menggunakan api atas dan bawah.

Apabila topping kopi sudah masak dan bahagian atas roti kelihatan cantik, keluarkan dan biarkan seketika sebelum dinikmati.

Tips:

  • Pastikan doh mengembang terlebih dahulu sebelum topping kopi dipaipkan.
  • Jangan letak inti mentega terlalu banyak supaya tidak mudah keluar ketika dibakar.
  • Paip topping kopi secara melengkar dari tengah untuk mendapatkan bentuk seperti Mexico Bun.
  • Pastikan ketuhar dipanaskan terlebih dahulu sebelum membakar.
  • Suhu dan tempoh membakar boleh disesuaikan mengikut jenis ketuhar masing-masing.
  • Roti lebih sedap dinikmati ketika masih suam kerana aroma kopi lebih kuat.

Selamat mencuba!

Sumber: Efie Muhamad

Baca juga: Resepi Roti Bun Inti Buttermilk, Gebu Dan Lembut, Sekali Cuba Terus Nak Buat Lagi

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending