The Vocket melancarkan kempen kesihatan dan kesejahteraan “Sihat Itu Seksi” yang mengajak orang ramai melihat gaya hidup sihat dari sudut yang lebih mudah dan realistik.

Gaya hidup sihat tak semestinya bermula dengan diet ketat atau rutin senaman yang berat. Perubahan kecil seperti lebih banyak berjalan, menjaga pemakanan dan membina rutin harian yang konsisten juga boleh menjadi langkah pertama.

Kempen yang berlangsung dari September hingga Oktober 2026 ini turut memberi fokus kepada usaha menggalakkan masyarakat mengambil langkah awal dalam menjaga kesihatan, bukan hanya memberi perhatian apabila sudah jatuh sakit.

Usaha ini dilihat semakin relevan apabila data Inisiatif Saringan Kesihatan Nasional (NHSI) anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2025 menunjukkan 254,000 daripada lebih 1.2 juta orang dewasa yang menjalani saringan dikesan mengalami masalah obesiti.

Baca juga: Pentas Little Star 2026: 20 Bintang Cilik Bersaing, Siapa Bakal Jadi Juara? Jom Undi!

The Vocket Ajak Orang Ramai Sertai Cabaran Sihat 30 Hari

the vocket

Antara aktiviti utama kempen ini ialah Cabaran Sihat Dalam 30 Hari, yang disertai lima ahli pasukan The Vocket dan lima orang pembaca. Menariknya, peserta tidak perlu mengikut satu rutin yang sama. Setiap individu akan menetapkan sasaran dan pendekatan masing-masing berdasarkan keadaan serta keperluan mereka.

Ada yang mungkin memberi tumpuan kepada pemakanan, manakala yang lain memilih untuk meningkatkan aktiviti fizikal atau membina rutin harian yang lebih konsisten. Pendekatan ini menunjukkan bahawa usaha untuk menjadi lebih sihat tidak semestinya memerlukan perubahan besar dalam masa yang singkat.

Sepanjang cabaran, para peserta akan mendapat bimbingan daripada seorang jurulatih peribadi yang berpengalaman dalam membantu individu mencapai sasaran kecergasan dan pengurusan berat badan.

Selain memantau peserta, jurulatih berkenaan turut akan berkongsi tip pemakanan, kecergasan serta senaman mudah yang boleh dilakukan dalam kehidupan seharian. Pemenang utama cabaran pula bakal membawa pulang wang tunai RM500, selain hadiah daripada rakan usaha sama kempen.

Bukan Semata-Mata Tentang Berat Badan

Walaupun perubahan fizikal sering menjadi antara perkara pertama yang dilihat dalam cabaran kesihatan, “Sihat Itu Seksi” tidak hanya memberi tumpuan kepada angka di atas penimbang.

Sepanjang kempen, The Vocket turut akan berkongsi kisah individu yang melakukan perubahan dalam kehidupan masing-masing, termasuk mereka yang mengubah corak pemakanan, mula berjalan pantas atau berusaha membina rutin yang lebih konsisten.

Aspek lain seperti kecergasan, pemakanan, keyakinan diri dan kesejahteraan mental turut diketengahkan sebagai sebahagian daripada perjalanan untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat.

“Kalau Kami Boleh Buat, Anda Juga Boleh Buat”

Menurut Azam Anwar, Pengarah Kempen Sihat Itu Seksi, penyertaan pasukan The Vocket sendiri dalam cabaran 30 hari itu merupakan usaha untuk menjadikan kempen berkenaan lebih dekat dengan orang ramai.

“Semoga dengan adanya kempen ini, literasi tentang kesihatan akan meningkat dalam masyarakat kita. Disebabkan itu, pasukan The Vocket sendiri turut serta dalam Cabaran Sihat Dalam 30 Hari ini kerana kami mahu tunjuk bahawa jika kami boleh buat, anda juga boleh buat.”

Katanya, perubahan gaya hidup tidak semestinya perlu dimulakan dengan sesuatu yang besar. Sebaliknya, perubahan kecil yang dilakukan secara konsisten boleh menjadi sebahagian daripada usaha untuk memperbaiki kesihatan dalam jangka panjang.

Selain Cabaran Sihat Dalam 30 Hari, orang ramai boleh mengikuti pelbagai perkongsian berkaitan kesihatan, kisah transformasi dan tip gaya hidup sihat menerusi platform The Vocket sepanjang tempoh kempen. Perkembangan kempen turut boleh diikuti di media sosial The Vocket menerusi tanda pagar #SihatItuSeksi.

Baca juga: ‘Pentas Little Star’ Cari Si Kecil Berbakat, Ini Masanya Untuk Rebut Hadiah Wang Tunai Sehingga RM1,500!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending