Kalau suka makan jeruk cili hijau dengan mi goreng, bihun sup atau nasi panas, boleh cuba buat sendiri di rumah. Resipi ini cukup mudah dan tidak memerlukan banyak bahan, tetapi ada satu langkah penting yang membantu cili kekal rangup dan tidak cepat lembik.

Lada Solok digunakan sebagai bahan utama kerana teksturnya memang sesuai untuk dibuat jeruk. Cili direndam terlebih dahulu dengan air kapur sebelum dicelur sekejap. Jangan risau, prosesnya mudah sahaja asalkan ikut tempoh yang ditetapkan.

Hasilnya, cili jeruk terasa masam, manis dan pedas-pedas manja dengan tekstur yang masih rangup apabila digigit. Memang sedap dijadikan pelengkap untuk pelbagai hidangan, terutama makanan yang berkuah atau berminyak.

Baca juga: Cara Pilih Buah Cempedak Yang Betul, Saiz Besar Belum Tentu Berisi… Periksa 6 Tanda Ini!

CARA BUAT JERUK CILI HIJAU KEKAL RANGUP

Bahan-bahan

  • Lada solok secukupnya
  • Air 3 hingga 4 cawan
  • Kapur makan ½ sudu makan
  • Cuka 2 cawan
  • Gula 5 hingga 6 sudu makan
  • Garam 2 sudu kecil

Cara-cara penyediaan:

1. Rendam cili dengan air kapur

Potong lada Solok mengikut kuantiti yang diperlukan. Masukkan cili ke dalam bekas berisi air dan campurkan dengan ½ sudu makan kapur makan. Rendam selama kira-kira 1 jam. Selepas itu, tos cili, cuci sehingga bersih dan ketepikan.

2. Celur cili sekejap

Didihkan air dalam periuk. Apabila air sudah mendidih, tutup api. Masukkan cili ke dalam air panas dan kacau selama kira-kira 30 saat sahaja. Jangan celur terlalu lama kerana ia boleh menyebabkan cili menjadi lembik.

3. Sejukkan dan keringkan cili

Selepas 30 saat, terus buang air celuran. Lalukan cili di bawah air paip untuk menghentikan proses pemanasan.

Toskan cili sehingga betul-betul kering. Pastikan cili tidak mempunyai lebihan air sebelum dimasukkan ke dalam bekas yang bersih.

Tip: Proses merendam dengan air kapur, mencelur sekejap dan menyejukkan cili dengan segera membantu mengekalkan tekstur cili supaya lebih rangup dan tidak mudah lembik.

4. Sediakan air jeruk

Masukkan cuka, gula dan garam ke dalam periuk. Panaskan sehingga gula dan garam larut. Kemudian biarkan air jeruk sejuk sepenuhnya.

Tuangkan air jeruk yang telah sejuk ke dalam bekas berisi cili sehingga cili terendam. Tutup bekas dengan rapat dan simpan di dalam peti sejuk. Selepas beberapa ketika, jeruk cili sudah boleh dinikmati.

Jeruk cili hijau ini memang sedap dijadikan pelengkap untuk mi goreng, bihun sup, mi segera atau nasi panas. Kalau jenis suka rasa pedas, masam dan manis dalam satu suapan, memang susah nak berhenti mencubit cili dari dalam bekas!

Sumber: Zhatu Liyana

Baca juga: Cara Goreng Ikan Bilis Rangup Walaupun Dibasuh, Rupanya Ini Teknik Yang Betul!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending