
Ayam kengsom merupakan antara hidangan berkuah masam pedas yang cukup terkenal kerana rasanya yang segar dan membuka selera. Kebiasaannya menu ini menggunakan ikan, namun versi menggunakan ayam juga tidak kurang sedapnya. Isi ayam yang lembut menyerap kuah masam pedas menjadikan setiap suapan lebih puas dinikmati.
Gabungan nenas, serai, kunyit hidup dan belacan menghasilkan kuah yang harum dengan keseimbangan rasa masam, pedas dan sedikit manis semula jadi daripada buah nenas. Ditambah pula dengan kangkung di penghujung masakan, hidangan ini menjadi lebih lengkap dan menyelerakan.
Kalau anda sedang mencari lauk berkuah yang mudah disediakan tetapi tetap padu rasanya, resipi ayam kengsom ini memang wajib dicuba. Paling sedap dihidangkan panas-panas bersama nasi putih, memang boleh bertambah nasi dibuatnya!
Baca juga: Wanita Kongsi Resipi Ayam Sos Tiram Thai Paling Mudah, Menu Yang Suami Asyik ‘Request’ Setiap Minggu
RESEPI AYAM KENGSOM

Bahan-bahan:
- 5 ulas bawang merah
- 4 ulas bawang putih
- 5 biji lada merah
- 5 biji cili api (ikut tahap kepedasan)
- 2 inci kunyit hidup
- 1 inci belacan
- 2 batang serai (dititik)
- 1/2 ekor ayam (dipotong kecil)
- 1/2 biji nanas (dipotong)
- 1 ikat kangkung (dipotong)
- 1 sudu besar sos ikan
- 2 keping asam keping
- Gula secukup rasa
- Garam secukup rasa
- Sedikit serbuk perasa (jika suka)
- Air secukupnya
Cara-cara penyediaan:
- Kisar bawang merah, bawang putih, lada merah, cili api, kunyit hidup dan belacan sehingga halus.
- Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama serai yang telah dititik. Biarkan sehingga mendidih dan naik bau.
- Masukkan ayam, kemudian gaul sebati dan biarkan seketika supaya ayam menyerap rempah.
- Tuangkan air mengikut jumlah kuah yang diingini, kemudian teruskan memasak sehingga ayam hampir empuk.
- Masukkan nanas, asam keping dan sos ikan. Perasakan dengan gula, garam serta sedikit serbuk perasa jika suka. Biarkan sehingga semua bahan masak dan kuah sebati.
- Akhir sekali, masukkan kangkung dan biarkan mereneh selama 1 hingga 2 minit sahaja.
- Tutup api dan ayam kengsom sedia untuk dihidangkan panas-panas bersama nasi putih.
Sumber: Sofia Abdul Halil
Baca juga: Resipi Ayam Masak Hitam Ala Kenduri, Lagi Lama Mereneh Lagi Pekat & Sedap Kuahnya
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














