
Potato lasagna menjadi pilihan ramai kerana menawarkan cara yang lebih mudah dan menjimatkan untuk menikmati hidangan ala Itali di rumah. Menariknya, resipi ini tidak menggunakan lasagna sheet, sebaliknya digantikan dengan hirisan kentang yang direbus hingga empuk, menjadikan teksturnya lembut dan mengenyangkan.
Menerusi perkongsian oleh Norashikin Ismail di Facebook, resipi ini cukup mudah diikuti dan menggunakan bahan-bahan yang senang didapati. Gabungan lapisan kentang, inti daging bersama sos keju berkrim menjadikan hidangan ini sesuai dinikmati bersama keluarga pada bila-bila masa.
Baca juga: Resepi Spaghetti Tomyam Creamy, Sedap Sebijik Macam Dekat Kedai Western!
RESIPI POTATO LASAGNA TANPA LASAGNA SHEET

Jika anda ingin mencuba kelainan daripada lasagna biasa, resipi ini memang wajib disimpan. Walaupun tanpa lasagna sheet, hasilnya tetap sedap, berkrim dan mampu membuatkan seisi keluarga makan bertambah.
Bahan-bahan:
- Lapisan kentang
- 4 hingga 6 biji kentang
- Hiris nipis dan rebus sehingga empuk
Bahan inti:
- 500 gram daging cincang atau ayam cincang
- 1 biji bawang Holland
- 4 ulas bawang putih
- 1 tin cendawan hiris (mushroom slices)
- Sos pasta bolognese (ikut kuantiti yang dikehendaki)
- Sedikit air
- Sos tomato secukup rasa
- Sos cili secukup rasa (boleh diabaikan)
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
- 1 kiub pati ayam
Bahan sos keju:
- 4 sudu besar mentega
- 4 sudu besar tepung gandum
- 400 ml susu penuh krim
- 4 keping keju cheddar
- ½ kiub pati ayam
Cara-cara penyediaan:
1. Sediakan inti
- Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang besar serta bawang putih sehingga naik bau.
- Masukkan daging atau ayam cincang, kemudian masak sehingga separuh masak.
- Masukkan cendawan hiris dan gaul rata.
- Tuangkan sos pasta bolognese, sos tomato dan sos cili.
- Masukkan kiub pati ayam, garam serta gula mengikut cita rasa.
- Tambahkan sedikit air jika kuah terlalu pekat, kemudian reneh sehingga sos menjadi sebati.
2. Sediakan sos keju
- Satukan mentega, tepung gandum, susu penuh krim dan kiub pati ayam ke dalam periuk.
- Kacau sehingga semua bahan larut dan sebati.
- Masukkan kepingan keju cheddar.
- Teruskan memasak sambil dikacau sehingga sos pekat dan mendidih.
3. Susun potato lasagna
- Susun hirisan kentang rebus di bahagian bawah bekas pembakar.
- Ratakan lapisan inti daging di atas kentang.
- Tuangkan sos keju sehingga menutupi inti.
- Ulang langkah yang sama sehingga semua bahan habis digunakan.
- Akhiri dengan lapisan sos keju di bahagian paling atas.
4. Bakar
- Panaskan ketuhar pada suhu 170°C hingga 180°C.
- Bakar selama 30 hingga 35 minit atau sehingga permukaannya bertukar perang keemasan.
Tips:
- Rebus kentang sehingga empuk tetapi jangan terlalu lembik supaya lapisannya tidak mudah hancur.
- Gunakan kentang yang dihiris dengan ketebalan yang sama agar masak sekata.
- Jika suka rasa keju yang lebih pekat, taburkan keju mozzarella di bahagian atas sebelum dibakar.
- Biarkan potato lasagna berehat selama 10 minit selepas dikeluarkan dari ketuhar supaya lebih mudah dipotong dan tidak mudah berderai.
- Hidangkan ketika masih panas untuk menikmati tekstur keju yang lebih berkrim dan menyelerakan.
Selamat mencuba!
Sumber: Norashikin Ismail
Baca juga: Macaroni Carbonara Paling Laris, Resipi Untuk 46 Orang Ini Confirm Licin Sampai Titisan Terakhir
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














