
Bila tiba musim Hari Raya, antara perkara yang paling dinanti-nantikan tentulah hidangan kuih raya untuk tetamu. Balang kuih mungkin sudah siap diisi, tetapi pernah tak terfikir bagaimana nak susun meja kuih raya supaya nampak lebih cantik, kemas dan estetik?
Sebenarnya, dengan susun atur yang betul, meja kuih bukan saja nampak menarik, malah memudahkan tetamu menikmati kudapan ringan ketika beraya. Idea ini diinspirasikan daripada perkongsian Syurga Andika di Lemon8 yang berkongsi cara mudah menghias meja kuih di rumah.
Baca juga: 5 Cara DIY Dari Kotak Telur Terpakai, Rupanya Boleh Guna Buat Alas Periuk Juga
IDEA MEJA KUIH RAYA CANTIK ESTETIK

Kalau anda masih mencari idea meja kuih raya yang praktikal dan menarik, ini beberapa tips yang boleh anda cuba supaya susunan nampak lebih kemas, estetik dan selesa untuk tetamu.
1. Asingkan Meja Kuih Raya Dari Meja Makan
Salah satu cara paling praktikal ialah menyediakan meja kuih raya berasingan daripada meja makan utama.
Biasanya ada tetamu yang ingin menikmati hidangan berat seperti rendang, ketupat atau nasi di meja makan. Pada masa yang sama, ada juga yang hanya mahu menikmati kuih raya sambil berbual santai.
Sebab itu, ramai memilih untuk menyediakan meja kuih di ruang tamu supaya tetamu boleh menikmati kudapan ringan dengan lebih selesa.
2. Gunakan Meja Kopi Untuk Meja Kuih Raya
Jika ruang rumah terhad, anda boleh jadikan meja kopi sebagai meja kuih raya.
Letakkan meja kopi rendah di atas karpet dan tetamu boleh duduk bersila di sekelilingnya. Konsep ini nampak santai tetapi tetap kemas dan sesuai untuk suasana rumah terbuka.
Selain menjimatkan ruang, ia juga menjadikan suasana beraya lebih mesra.
3. Susun Balang Kuih Raya Di Atas Dulang
Untuk menjadikan meja kuih nampak lebih estetik, susun balang kuih di atas dulang.
Dulang cermin atau dulang hiasan sangat sesuai digunakan kerana ia memberikan sentuhan elegan pada meja. Selain itu, dulang juga memudahkan anda mengalihkan balang kuih tanpa perlu mengangkat satu per satu.
Susunan seperti ini juga menjadikan meja kuih nampak lebih teratur.
4. Gunakan Bekas Bertutup Untuk Kuih Dan Gula-Gula
Selain balang kuih raya, anda boleh menambah bekas compartment bertutup di atas meja kuih raya.
Bekas ini sesuai untuk mengisi kuih kecil, gula-gula atau coklat. Ia juga memudahkan tetamu memilih kudapan tanpa perlu membuka banyak balang.
Dalam masa yang sama, makanan juga kekal bersih dan terjaga.

5. Sediakan Bekas Kaca Untuk Hidangan Kek
Jika anda bercadang menghidangkan kek seperti kek lapis, kek marble atau kek pisang, gunakan bekas kaca bertutup.
Bekas ini bukan sahaja membuatkan kek nampak lebih eksklusif, malah membantu memastikan kek kekal lembut dan tidak cepat kering.
Ia juga menjadikan meja kuih raya kelihatan lebih premium.
6. Hidangkan Manisan Dalam Dulang Bertingkat
Salah satu cara untuk menaikkan seri meja kuih ialah menggunakan dulang unik seperti dulang bertingkat atau dulang berbentuk sangkar burung.
Dulang ini sangat sesuai untuk menghidangkan dessert seperti:
- tart mini
- coklat
- biskut raya
- manisan
Selain cantik, ia juga menjimatkan ruang kerana susunannya bertingkat.
7. Sediakan Minuman Untuk Tetamu
Selain kuih raya, jangan lupa sediakan minuman di meja kuih raya.
Letakkan jag air dan gelas di atas papan hidangan supaya nampak lebih tersusun. Tetamu juga boleh mengambil minuman sendiri dengan mudah.
Minuman seperti sirap, air limau atau soda sangat sesuai dihidangkan bersama kuih raya.
8. Gunakan Mangkuk Tingkat Untuk Sentuhan Klasik
Jika mahu meja kuih nampak lebih unik, cuba gunakan mangkuk tingkat sebagai bekas hidangan.
Mangkuk tingkat boleh diisi dengan pelbagai kudapan seperti kacang, kuih tradisional atau gula-gula. Selain memberi sentuhan klasik, ia juga membantu menjimatkan ruang di atas meja.
9. Hias Meja Kuih Raya Supaya Lebih Berseri
Untuk menjadikan meja kuih lebih menarik, tambah sedikit dekorasi.
Antara hiasan yang boleh digunakan ialah:
- alas meja cantik
- bunga hiasan
- lampu LED kecil
Dekorasi ringkas seperti ini sudah cukup untuk menaikkan suasana Hari Raya di rumah.
Jika menggunakan konsep meja kopi, letakkan juga kusyen di sekeliling meja supaya tetamu boleh duduk dengan lebih selesa.
Meja Kuih Raya Cantik Buat Tetamu Lebih Selesa
Sebenarnya tidak perlu dekorasi mahal untuk menghasilkan meja kuih yang cantik dan estetik. Dengan susun atur yang kemas, bekas hidangan yang sesuai dan sedikit sentuhan hiasan, meja anda sudah boleh nampak sangat menarik.
Tetamu juga pasti lebih selesa menikmati kuih raya sambil berbual santai ketika beraya nanti.
Jadi, kalau anda masih mencari idea meja kuih raya, bolehlah cuba beberapa tips ini. Raya pun dah semakin dekat, sekarang masa terbaik untuk mula susun atur meja di rumah!
Semoga bermanfaat!
Sumber: Syurga Andika
Baca juga: DIY Jimat Balang Kuih Raya Supaya Nampak Manis & Estetik, Confirm Tetamu Puji!
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














