Cara simpan tauge sebenarnya tidaklah susah. Sayur ini memang antara bahan masakan yang mudah layu, berubah warna dan cepat rosak jika tidak disimpan dengan betul.

Lebih-lebih lagi kalau beli tauge dalam kuantiti banyak tetapi hanya menggunakan sebahagian untuk memasak. Kalau dibiarkan begitu sahaja di dalam peti ais, tauge boleh menjadi lembik dan tidak lagi segar.

Ada satu petua mudah yang boleh dicuba untuk menyimpan tauge supaya tahan lebih lama. Caranya adalah dengan menggunakan air dan sekeping asam keping sahaja.

Baca juga: Cara Simpan Daun Kari & Daun Masakan Lain, Tak Kecut Walaupun Dah Berbulan!

CARA SIMPAN TAUGE SUPAYA TAHAN LAMA & TAK CEPAT HITAM

cara simpan tauge

Bahan-bahan:

  • Tauge secukupnya
  • Air bersih secukupnya
  • 1 keping asam keping

Cara-cara penyediaan:

  1. Mula-mula, bersihkan tauge dan buang bahagian yang sudah rosak jika ada.
  2. Masukkan tauge ke dalam bekas yang sesuai.
  3. Tuangkan air bersih sehingga tauge terendam.
  4. Masukkan sekeping asam keping ke dalam bekas tersebut.
  5. Tutup bekas dan simpan di dalam peti ais.
  6. Apabila hendak digunakan, keluarkan tauge dan bilas terlebih dahulu sebelum dimasak.

Menurut perkongsian petua ini, tauge yang disimpan menggunakan cara tersebut masih kelihatan segar dan rangup walaupun sudah dua hari berada di dalam peti ais.

Walau bagaimanapun, pastikan tauge sentiasa berada dalam keadaan bersih dan sejuk. Sebaiknya tukar air setiap hari dan periksa keadaannya sebelum digunakan. Jika tauge sudah berlendir, berbau masam atau menunjukkan tanda kerosakan, jangan gunakan lagi.

Sumber: Ainna Ishak

Baca juga: Selama Ini Pilih Telur Ikut Saiz Saja, Rupanya Bentuk & Warna Kulit Pun Ada Maksud Tersembunyi!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending