Sesuatu hidangan lauk itu tak lengkap tanpa sayur di sisinya, jadi kami nak kongsikan cara masak Kacang Panjang Tumis Tauhu yang segar, sedap dan mudah dibuat.
Kacang panjang adalah antara sayur popular yang sering dimasak secara tumis atau goreng. Selain itu, ada sesetengah orang yang jadikannya sebagai ulam.
Tekstur kacang panjang yang rangup dan segar pasti membuatkan selera terangkat, lebih-lebih lagi apabila dimakan dengan nasi putih yang panas. Silap-silap, makan sampai tak berhenti.
Jika anda tiada idea untuk buat hidangan sayur pada hari ini, boleh ikut resipi Kacang Panjang Tumis Tauhu yang dikongsikan oleh Roslinda Razak di Facebook. Jom kita cuba!
Baca juga: Petua Sayur Segar Semula Daripada Layu, Mak-Mak Boleh Guna Trik Ini Di Rumah
RESIPI KACANG PANJANG TUMIS TAUHU
Bahan-bahan:
- 12 batang kacang panjang (dipotong kecil)
- 2 keping tauhu (potong dadu dan digoreng)
- 3 batang cili hidup merah (ditumbuk)
- ½ biji bawang besar (ditumbuk)
- 4 ulas bawang putih (ditumbuk)
- ½ atau 1 kiub pati ikan bilis (ikut suka nak letak banyak mana)
- 2 sudu besar sos tiram (saya guna jenama Life)
- Sedikit air
- Minyak (untuk menumis)
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, panaskan minyak dalam kuali terlebih dahulu.
2. Selepas itu, tumis bahan-bahan tumbuk sehingga garing dan naik bau.
3. Kemudian, masukkan kiub bilis dan tumis sekali dengan bahan-bahan tumbuk sehingga hancur.
4. Seterusnya, masukkan sos tiram dan letak air sedikit supaya tak kering.
5. Setelah itu, masukkan tauhu dan kacang panjang.
6. Akhir sekali, kacau sekejap dan tutup api. Siap untuk dihidang!
Oleh disebabkan kiub ikan bilis dan sos tiram sudah cukup rasa masinnya, jadi anda tak perlu letak garam dalam Kacang Panjang Tumis Tauhu ini.
Jika suka, anda juga boleh letak telur untuk menambahkan lagi kelazatan hidangan sayur ini. Setelah membuatnya, pasti keluarga anda puji betapa sedapnya masakan anda nanti.
Selamat mencuba!
Sumber: Roslinda Razak
Baca juga: Sawi Masak Sos Tiram Paling Simple, Simbahan Kuahnya Buat Selera Tertarik!