Pajeri terung, pajeri nanas atau pajeri mangga sudah biasa makan, tapi pernahkah anda mendengar resipi pajeri rambutan? Jika belum, inilah masanya untuk anda cuba.
Pajeri rambutan ini bukan resipi baharu, cuma generasi sekarang sahaja yang tidak tahu akan kewujudannya. Sebenarnya, makanan ini sering dihidangkan pada zaman dahulu ketika mak ayah kita masih kecil.
Menurut empunya resipi, beliau yakin jika sesiapa mencuba resipi ini pasti tidak akan menyesal. Malah akan ‘teringat-ingat’ bila habis musim rambutan nanti.
Mari kita lihat apakah bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak menu yang unik ini. Ibu-ibu boleh cuba nanti ya!
Baca juga: Resipi Pisang Rebus, Makanan Orang Lama Yang Sudah Ditelan Dek Zaman
RESIPI PAJERI RAMBUTAN
Bahan-bahan:
- Bawang kecil 10 ulas (dihiris)
- Bawang putih 2 ulas (dihiris)
- Cili kisar 4 sudu (lebihkan jika suka pedas)
- Daun kari
- 4 sekawan
- Serbuk kari
- Rambutan
- Santan
- Kerisik
- Gula merah
- Garam
Cara memasak:
- Tumis bawang kecil, bawang putih, cili kisar, daun kari dan 4 sekawan. Biarkan sehingga sedikit kering.
- Bila sudah kelihatan sedikit kering, masukkan serbuk kari. Kacau sebati.
- Kemudian, masukkan buah rambutan segar dan tunggu sehingga air rambutan kering sedikit.
- Selepas itu, masukkan pula santan. Kuantiti santan mengikut paras rambutan.
- Bila dah kering sedikit, masukkan pula kerisik. Lagi sedap jika lebihkan.
- Letakkan gula merah mengikut tahap memanisan yang disukai.
- Biarkan sehingga kuah pekat sedikit. Perasakan dengan garam secukup rasa.
- Bila kuah dah pekat, ubah suai rasa mengikut selera jika ada yang kurang.
- Sedia untuk dihidangkan, selamat mencuba!
Kredit resipi dan gambar: Lemang Luak Rembau
Baca juga: Resipi Ayam Masak Merah Ala Kenduri ‘Cara Orang Lama’, Tak Guna Sebarang Sos Pun