makanan malaysia

Bila bercakap tentang makanan Malaysia, memang banyak yang boleh dibanggakan. Setiap hidangan ada keistimewaan tersendiri, daripada rasa yang kaya dengan rempah, penggunaan bahan yang pelbagai hinggalah cara penyediaannya yang diwarisi turun-temurun.

Menariknya, makanan Malaysia bukan hanya dekat di hati kita yang membesar dengannya. Apabila diperkenalkan di luar negara, ada hidangan yang berjaya menarik perhatian penduduk tempatan, malah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

Kadang-kadang kita sendiri tak sedar betapa istimewanya makanan yang selalu ada di depan mata. Jadi, jom tengok lima menu Malaysia yang berjaya mencuri perhatian di luar negara dan membuktikan bahawa makanan kita memang boleh pergi jauh!

Baca juga: RM26 Sebekas Tapi Tetap Jadi Rebutan, Nasi Ayam Jualan Ibu Neelofa Raih Pelbagai Reaksi Netizen

5 MAKANAN MALAYSIA YANG BUAT ORANG LUAR JATUH CINTA

1. Sate 

makanan malaysia

Kalau ada yang kata sate cuma menjadi kegemaran rakyat Malaysia, kisah seorang peniaga Malaysia di Nanjing, China ini mungkin boleh mengubah pandangan tersebut.

Seorang warganera Malaysia bernama Mohammad Amni Sinwan mencuri perhatian selepas menjual sate Malaysia di sebuah festival makanan di Nanjing. Sambutan yang diterima memang di luar jangkaan apabila 1,500 cucuk sate habis dijual dalam masa kurang sejam.

Lebih menarik, sate tersebut dijual pada harga 10 yuan untuk tiga cucuk, kira-kira RM6 ketika itu. Walaupun harganya lebih tinggi berbanding sesetengah makanan tempatan, orang ramai tetap sanggup beratur untuk mendapatkannya. Ada pelanggan yang dikatakan datang semula pada hari berikutnya kerana tidak sempat membeli sate pada hari sebelumnya.

Apa yang membuatkan sate ini lebih istimewa ialah ia dibawa dengan identiti Malaysia yang cukup kuat. Sate ayam dan daging dihidangkan bersama kuah kacang, nasi himpit serta timun, sama seperti cara ia dinikmati di Malaysia. Peniaga tersebut juga membawa rempah dari Malaysia untuk digunakan dalam perapan sate, manakala bahan mentah diproses di Nanjing.

Bukan itu sahaja, peniaga berkenaan turut mengenakan baju Melayu lengkap bersongkok ketika berniaga. Kemahirannya berbahasa Mandarin pula memudahkannya berkomunikasi dengan pelanggan tempatan.

Kisah ini membuktikan makanan yang dekat dengan kita sebenarnya boleh mendapat tempat di hati orang luar apabila diperkenalkan dengan cara yang betul. Sate yang selama ini dianggap makanan biasa di Malaysia, rupa-rupanya boleh menjadi rebutan di Nanjing!

2. Char Kuetiau

makanan malaysia

Char kuetiau pula antara makanan Malaysia yang cukup sinonim dengan budaya makanan jalanan kita. Di Australia, hidangan mi goreng berasaskan kuetiau ini juga mempunyai peminat tersendiri.

SBS Food pernah mengetengahkan kisah restoran Lulu’s Char Koay Teow di Melbourne yang diasaskan oleh seorang kelahiran Penang. Restoran tersebut membawa gaya char kuetiau Penang kepada pelanggan Australia dan dilaporkan mempunyai pelanggan tetap yang sanggup beratur untuk menikmati hidangan tersebut.

Bukan itu saja, media Australia turut menyenaraikan kuetiau sebagai antara hidangan Malaysia yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pencinta makanan di Australia. Rahsianya mungkin terletak pada rasa ‘wok’, aroma berasap yang terhasil apabila kuetiau dimasak dengan api besar.

3. Nasi Lemak

Nasi lemak pula mempunyai peminat di negara yang mungkin kita tak sangka-sangka, iaitu Belanda. Di Amsterdam, seorang wanita kelahiran Malaysia mula menjual nasi lemak secara kecil-kecilan sejak 2017.

Daripada sekadar makanan yang dirindui rakyat Malaysia di perantauan, nasi lemak akhirnya turut dikenali dan ditempah oleh pelanggan tempatan. Nampaknya, sambal, ikan bilis dan nasi berlemak memang ada tarikan tersendiri walaupun jauh dari Malaysia.

4. Roti Canai

makanan malaysia

Kredit gambar: Tatler Asia

Roti canai pula mempunyai kisah yang cukup menarik di London. Chef Malaysia, Sugen Gopal dari Ipoh, membawa hidangan ini ke London melalui restoran Roti King. Daripada sebuah kedai kecil akhirnya berkembang menjadi beberapa cawangan dan mendapat perhatian pelanggan tempatan.

Roti canai menjadi antara hidangan yang mencuri perhatian kerana ia bukan sekadar roti biasa. Teksturnya yang berlapis dan rangup di luar tetapi lembut di dalam, ditambah pula dengan kuah dhal atau kari, menjadikannya sesuatu yang unik bagi pelanggan yang pertama kali mencuba makanan Malaysia. Malah, Roti King turut mendapat perhatian media makanan antarabangsa seperti Time Out, The Guardian dan Eater.

5. Laksa Sarawak

Di Adelaide Central Market, Australia, terdapat sebuah gerai kecil bernama Asian Gourmet yang sudah menyajikan Laksa Sarawak selama kira-kira 40 tahun. Perniagaan tersebut dikendalikan oleh sebuah keluarga yang berasal dari Sarawak dan menjadi antara penghubung rasa Malaysia dengan masyarakat Australia.

Kisahnya bermula apabila ahli keluarga tersebut membawa resipi dan cara penyediaan laksa dari Sarawak ke Australia. Hidangan yang cukup sinonim dengan Bumi Kenyalang itu kemudiannya terus dijual kepada pelanggan di Adelaide selama beberapa dekad.

Bayangkan, satu mangkuk laksa yang bermula dari Sarawak boleh bertahan sehingga empat dekad di Australia. Ini bukan sekadar cerita restoran Malaysia di luar negara, tetapi kisah bagaimana satu resipi keluarga berjaya dipertahankan dan diperkenalkan kepada generasi pelanggan di negara lain.

*Anda sebagai rakyat Malaysia, suka yang mana?

Sumber: Astro Awani, SBS

Baca juga: Lelaki Ini Jual Ais Kacang Di Sweden Guna Mesin Dari Malaysia, Netizen Terkejut Tengok Harga!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Popular

Artikel Popular

Video Terkini

Restoran Pilihan JJCM

Laura Medina Cafe

Menyajikan "world menu", antaranya sajian Barat, Korea dan tempatan.

Mari Makan

Menyediakan pelbagai masakan Barat dan tempatan.

Restoran Gegey (Shah Alam)

Mula beroperasi sejak tahun 2016, Restoran Gegey menawarkan lima jenis hidangan nasi pada harga dibawah RM8.00!

RESTORAN PILIHAN