Bosan dengan sup ayam yang dimasak cara sama? Apa kata cuba tom som gai, sup ayam masam Thai yang menggabungkan rasa masam, pedas dan sedikit manis dalam satu mangkuk.
Kuahnya yang beraroma dengan penggunaan serai, lengkuas, cili kering dan akar ketumbar memang boleh membuka selera. Tambah pula perahan limau nipis di akhir masakan, rasanya jadi lebih segar dan menyelerakan.
Baca juga: Nasi Ayam Ala Thai Ini Memang Lain Macam, Sekali Cuba Terus Jadi Menu Kegemaran Keluarga
TOM SOM GAI, SUP AYAM MASAM THAI YANG MUDAH DIBUAT

Bagi peminat masakan Thai, tom som gai ini boleh menjadi pilihan untuk menu makan tengah hari atau makan malam. Cara penyediaannya juga tidak terlalu rumit dan kebanyakan bahannya mudah didapati.
Menurut perkongsian Nurul Ain di Facebook, kunci kepada hidangan ini adalah memastikan rasa masam, pedas dan manis dalam kuahnya seimbang.
Bahan-bahan:
- Ayam
- 4-5 tangkai cili kering
- 2 batang serai, dititik
- 2 inci lengkuas, dititik
- 2 akar ketumbar
- 2 sudu sos ikan Thai
- 1 sudu kecil Thai palm sugar
- Garam dan perasa secukupnya
- 1 keping asam keping
- Daun ketumbar, dipotong
- Limau nipis, untuk diperah
Bahan tumis:
- Bawang merah
- Bawang putih
- Halia
Cara-cara Penyediaan:
1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk atau kuali, kemudian tumis serai, cili kering, lengkuas dan akar ketumbar sehingga naik bau.
2. Masukkan ayam dan kacau sehingga ayam mula mengeluarkan airnya sendiri.
3. Tuangkan air secukupnya dan biarkan sehingga kuah mula menggelegak.
4. Masukkan Thai palm sugar, sos ikan Thai dan asam keping.
5. Perasakan dengan garam dan perasa mengikut citarasa, kemudian biarkan ayam masak dan kuah meresap.
6. Sementara itu, panaskan sedikit minyak dalam kuali berasingan dan tumis bawang merah, bawang putih serta halia sehingga keperangan dan sedikit garing.
7. Masukkan bahan tumis tadi ke dalam periuk ayam dan kacau supaya sebati.
8. Periksa rasa kuah. Pastikan rasa masam, pedas dan manis berada pada tahap yang seimbang.
9. Masukkan hirisan daun ketumbar dan kacau seketika.
10. Akhir sekali, perahkan limau nipis mengikut citarasa sebelum tutup api.
11. Siap dan boleh dihidangkan panas bersama nasi putih.
Tip Untuk Dapatkan Kuah Tom Som Gai Yang Sedap
Untuk rasa yang lebih segar, perahan limau nipis sebaiknya dimasukkan pada penghujung masakan. Ini juga memudahkan rasa masam dilaraskan mengikut selera.
Jangan lupa seimbangkan rasa kuah supaya tidak terlalu masam, pedas atau manis. Gabungan ketiga-tiga rasa inilah yang membuatkan tom som gai begitu menyelerakan.
Resipi tom som gai ini dikongsikan oleh Nurul Ain menerusi Facebook dan sesuai dicuba untuk hidangan keluarga di rumah.
Selamat mencuba!
Sumber: Nurul Ain
Baca juga: Cara Buat Bihun Goreng Tomyam Sedap Ala Kedai Thai, Pedas Pedas Masam Memang ‘Kick’!
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM

