Asam pedas merupakan hidangan istimewa yang cukup terkenal di Malaysia, khususnya di negeri Johor. Nak tahu tips masak asam pedas yang benar-benar sedap dan menyelerakan?
Untuk menghasilkan asam pedas yang padu dan menyelerakan, ada beberapa rahsia yang perlu diketahui. Bukan sekadar campak-campak bahan, tapi ada teknik-teknik tertentu yang boleh menjadikan rasa asam pedas lebih ‘umpph’!
Jom kita bongkar rahsia dan tips memasak asam pedas yang sedap, yang pasti akan membuatkan keluarga puas hati! Bermula dari pemilihan bahan hingga cara memasak, semuanya akan dikongsikan dalam artikel ini.
Baca juga: Resipi Asam Pedas Ikan Jenahak, Letak ‘Bahan Ini’ Untuk Kuah Lagi Lemak & Pekat!
TIPS MASAK ASAM PEDAS YANG SEDAP
1. Pemilihan Ikan atau Protein
Gunakan ikan segar seperti ikan pari, tenggiri atau kembung. Ayam, daging atau tofu juga boleh digunakan mengikut selera.
2. Kisar Bahan dengan Betul
Gunakan nisbah bawang dan cili kering yang seimbang, contohnya: 2:1 (2 bahagian bawang, 1 bahagian cili kering) untuk rasa lebih manis dan seimbang. Jika suka pedas, lebihkan cili kering, tetapi pastikan tidak terlalu mengatasi rasa bawang. Guna 2 jenis cili kering berbeza, cili yidu (tak pedas tapi cantik warna) dan cili kering keringting.
3. Tumis Sampai Pecah Minyak
Tumis bahan kisar (bawang merah, bawang putih, cili kering, halia, kunyit hidup) hingga pecah minyak. Kemudian tambah air dan biarkan pecah minyak lagi. Biarkan sambal pecah minyak beberapa kali, masak perlahan supaya rempah sebati dan naik aroma. Jangan terburu-buru kerana proses ini adalah kunci rasa yang mantap.
4. Tambah Bahan Perasa
Gunakan asam jawa atau asam keping untuk rasa masam. Garam, gula dan serbuk perasa ditambah sedikit demi sedikit untuk menyeimbangkan rasa. Lada hitam boleh ditambah dalam kuantiti kecil (1/4-1/2 sudu teh) untuk rasa lebih kompleks. Jangan terlalu banyak agar tidak menenggelamkan rasa asam pedas.
5. Daun Kesum dan Bunga Kantan
Tambahkan daun kesum dan bunga kantan di akhir masakan untuk aroma tradisional.
6. Elakkan Letak Terlalu Banyak Air
Tambahkan air sedikit demi sedikit untuk memastikan kuah tidak terlalu cair. Air dari ikan akan keluar ketika proses memasak.
Dengan teknik ini, asam pedas akan lebih sedap, aromatik dan kaya rasa! Semoga bermanfaat.
Sumber: Tim Greenturae
Baca juga: Resipi Asam Pedas Ayam Berempah, Cara Masak Mudah Yang Amat!